Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2019.

RANTAU – Niat murni calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram untuk diwujudkan sebuah kolej di kawasan ini disanggah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ujarnya, PH tidak perlu menabur janji-janji baharu kepada pengundi Rantau dan berusaha keras untuk memastikan janji-janji dalam manifesto PRU14 dikotakan.

“Bagus idea itu, buat kolej jangan tak buat. PH ini kadang-kadang cakap saja, janji lamo tak buat lagi, janji baharu nak ditabur.

“Kita kena jadikan sebahagian Lembah Klang, Seremban, PD, sebahagian.. kena wujudkan perumahan jadi rakyat boleh tinggal di Negeri Sembilan dan kerja di KL,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Utama (BGU) BN, hari ini.

Awal hari ini, pencabarnya Dr Streram berkata, Rantau berpotensi besar untuk dibangunkan sebuah Institut Pengajian Tinggi.

Malah beliau juga mahu lebih banyak kolej kemahiran masuk ke Rantau untuk dimanfaatkan golongan muda.

“Setakat ini IPT tiada di Rantau, jika kewangan lebih baik dan saya rasa kita boleh buat kolej di sini dan boleh memperolehi pendapatan kewangan hasil daripada pelaburan.

“Port Dickson berhampiran Rantau dan lebih popular kepada pelancongan dan saya mahu meningkatkan pendapatan mereka (penduduk)  sekaligus membawa masuk eko pelancongan mengindahkan Rantau,” katanya selepas Walkabout di Kampung Kuala Sawah, hari ini.

‘Perang’ mulut antara Tok Mat dan Dr Streram merancakkan kempen PRK DUN Rantau yang memasuki hari ketiga hari ini.

Semalam, Tok Mat menyifatkan Streram ‘mabuk’ kali kedua apabila mendakwa Rembau tidak memiliki hospital untuk kegunaan rakyat Rantau.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, Dr. Streram perlu membuat kajian menyeluruh mengenai pembangunan di Rantau sebelum membuat apa-apa kenyataan yang boleh memakan diri sendiri. – MalaysiaGazette