Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Golongan ultra kiasu bersorak gembira dengan keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

Pensyarah yang juga Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah berkata, mungkin juga golongan itu menari mengikut irama ‘let’s twist again’ apabila mendapat perkhabaran itu.

“Ultra kiasu turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Peguam Negara, selaku Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia atas pengiktirafan itu,” katanya dipetik tulisannya ‘Bila Peguam Negara mendahului, kerajaan ultra kiasu pun bertwist’ yang disiarkan laman web Ismaweb.net hari ini.

Ridhuan mengulas, belum lagi selesai Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) yang dilantik Kementerian Pendidikan untuk membuat kajian mengenai pengiktirafan UEC sekolah persendirian Cina, tiba-tiba Tommy telah membuat kenyataan mengiktiraf sijil itu.

Peguam Negara pada minggu lalu mengeluarkan kenyataan bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia mengiktiraf UEC sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels.

Katanya, anggota PPDUEC yang dilantik pada 29 Oktober lalu diketuai Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng selaku pengerusi; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim; dan Timbalan Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing selaku ahli.

Peguam Negara turut memaklumkan, PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021.

Tegas beliau, ini bermakna pelajar persendirian Cina boleh membuat permohonan untuk menduduki PSAG.

“Saya sebelum ini ada menyebut saya adalah salah seorang panel pakar yang dipilih untuk memberikan pandangan di hadapan pasukan PPDUEC hujung tahun lalu.

“Pendirian saya jelas, jika UEC mahu diiktiraf, ia mesti melalui Kementerian Pendidikan dan dikawal selia oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, bukan Dong Zong dan Dong Jiao Zong seperti amalan hari ini.

“Jelajah PPDEUC ini belum selesai, masih berjalan. Dijangka disiapkan pada Julai tahun ini,” ujar beliau.

Ini kata Prof. Dr. Ridhuan, dibuktikan melalui kenyataan Dr. Maszlee Malik pada 21 Mac lalu bahawa penubuhan PPDUEC adalah susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos 2018.

Menurut menteri lagi, katanya, PPDUEC ditubuhkan untuk mengumpul maklumat dan mengemukakan syor kepada kementerian berhubung isu pengiktirafan UEC.

“Garis masa pasukan ini mengkaji isu pengiktirafan UEC adalah dari Oktober 2018 hingga Julai 2019.

“Hasil dapatan daripada maklum balas mengenai pengiktirafan UEC akan dirumuskan dan syor akan dirangka serta diangkat kepada menteri pada Julai ini untuk dipertimbangkan sama ada sijil itu akan diiktiraf dalam sistem pendidikan negara atau tidak.

“Dalam fahaman saya, berasaskan kepada kenyataan di atas, Jemaah Menteri (kerajaan) adalah institusi paling tinggi dalam menentukan sebarang keputusan, terutama perkara berkaitan hala tuju pendidikan negara,” kata beliau.

Tegasnya, pihak lain tidak boleh mendahului, tetapi persoalannya kenapa Peguam Negara mendahului kerajaan. – MalaysiaGazette