Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan tentang kepentingan nilai-nilai murni yang perlu menjadi pegangan khasnya penjawat awam untuk terus dihormati.

Beliau menggariskan empat nilai utama yang perlu menjadi amalan penjawat awam termasuk rajin, amanah, bertanggungjawab dan berdisplin bagi memastikan negara berada pada tahap lebih tinggi dan dihormati dunia luar.

Malah jelas Mahathir, isi kandungan serta lirik lagu ‘Malaysia Bersih’ yang mula dinyanyikan ketika perhimpunan bulanan perlu dihayati dan patuh kepada isi kandungan doa serta lagu itu.

“Kita perlu beri perhatian dengan lagu serta doa, kita harus beri perhatian kepada isi kandungan nyanyian serta doa itu selain daripada diikuti dengan usaha bagi mencapai semua yang kita harapkan itu.

“Kejayaan tidak akan datang bergolek hanya dengan doa sahaja, sebaliknya usaha keras yang berterusan dengan nilai-nilai dalam diri kita.

“Tanpa usaha, kita tidak akan dapat apa-apa. Kita seharusnya semua bekerja keras ke arah sebuah negara yang dihormati dunia dan bukan dipandang atau di label secara hina oleh dunia luar.

“Apa sahaja yang telah ditugaskan kepada kita perlu kita galas dan lakukan dengan sebaik mungkin supaya kejayaan yang dijanji oleh Allah SWT kepada kita akan dicapai. Kita dipertanggungjawabkan dalam kerajaan untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya tidak berniat untuk bersyarah agama, saya tidak layak dengan bahasa Arab pun saya tahu sedikit sahaja. Saya juga bukan mahu berleter tidak habis-habis, sebaliknya terus mengingatkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita agar di hormati bukan sahaja sekeliling sebaliknya dunia,” ucapnya.

Beliau berkata demikian di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri ketika perhimpunan bulanan sebentar tadi.

Kata Mahathir, walaupun penjawat awam memiliki ‘kuasa’ kecil atau besar, mereka tidak seharus menyalahgunakannya bagi kepentingan peribadi selain mengelakkan diri daripada terjerumus dengan aktiviti rasuah.

Dengan mengimbau kembali kisah zaman British, beliau menceritakan tentang seorang ‘budak pejabat’

“Anggota kerajaan mempunyai sedikit sebanyak kuasa. Kalau setakat jadi budak pejabat sekalipun, dia juga miliki kuasa.

“Saya ingat dulu ketika zaman British, ada seorang magistret di Kedah yang berkuasa tetapi budak pejabatnya juga miliki kuasa. Bagaimana budak pejabat boleh berkuasa? Dia boleh tentukan magistret itu mempunyai kelapangan atau tidak untuk bertemu dengan orang.

“Itu kuasa, walaupun kecil kuasanya tetapi dia buat ‘duit’ dengan kuasa itu. Cerita ini memang tidak baik, dia berkongsi sedikit dengan magistret, kutip duit hujung minggu pergi bercuti di Pulau Pinang.

“Ini tidak baik, tidak seharusnya dilakukan oleh kita, walaupun kuasa itu kecil kita sudah mula salahgunakan kuasa, itu bukan sesuatu yang boleh dialu-alukan oleh kita,” tegasnya. –MalaysiaGazette