VILNIUS – Seorang warga Lithuania terkejut apabila mendapati beliau merupakan hanya penumpang yang terbang dalam pesawat Boeing, B737-800.
Skirmantas Strimaitis yang terbang dari ibu negara Lithuania, Vilnius ke bandar di utara Itali, Bergamo untuk bercuti sambil bermain ski pada 16 Mac lalu memiliki keseluruhan ruang pesawat yang boleh memuatkan 188 penumpang, lapor AP.
Individu lain yang berada dalam pesawat itu ialah dua orang juruterbang dan lima krew penerbangan.
Agensi pelancongan The Novaturas berkata, syarikat itu telah menyewa pesawat tersebut untuk menerbangkan sekumpulan pengembara pulang dari Itali dan bagi mengelakkan pesawat terbang tanpa penumpang, hanya satu tiket sehala telah dijual.
Hanya seorang pelanggan telah membeli satu tiket.
Semalam, Strimaitis berkata, penerbangan lebih dua jam itu meruapakn ‘pengalaman seumur hidup yang tidak dapat dilupakan’. – Agensi