Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra dengan sebahagian penduduk ketika hadir pada majlis mesra bersama calon BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Seliau di Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 05 APRIL 2019

PR RANTAU – Ada penganjur pengundi PRK Rantau sanggup membatalkan rombongan semata-mata tidak mahu terlepas mahu mengundi Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menceritakan pengalamannya, Mohamad berkata, beliau telah menerima panggilan daripada seorang pengundi yang meminta maaf kerana tidak dapat mengundi pada 13 April depan kerana mengikuti rombongan ke Cameron Highlands.

“Saya pujuk kita jangan macam tu. Tolonglah turun mengundi.

“Sia-sialah puan tak sayang saya. Dia kata ini rombongan percuma. Saya kata kalau nak pergi, pergilah dan kalau boleh, runding dulu untuk batalkan rombongan tersebut,” katanya dalam siri kempen di PDM Kampung Seliau, Rantau hari ini.

Selepas selesai bercakap, dalam masa dua minit, wanita berkenaan membuat panggilan semula kepadanya mengatakan rombongan itu telah dibatalkannya semata-mata bagi memenangkan.

“Tak tau apa yang dia fikir, kesian kat saya, tak jadi pergi batal terus rombongan itu,” kata Mohamad lagi.

Mohamad merupakan calon Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi DUN Rantau pada pengundian 13 April ini.

Selain bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Pakatan Harapan (PH) turut menghantar calon iaitu pakar bius, Dr. S. Streram dan dua calon bebas, R. Malar dan Mohd. Nor Yassin.

Mohamad tidak risau akan pengundi di kubu kuat Barisan Nasional di Pusat Daerah Mengundi Seliau kerana yakin pengundi di situ akan tetap memilihnya.

Malah beliau tidak perlu untuk berkempen di PDM Seliau yang rata-ratanya adalah saudara maranya di Rantau.

“Petang ini saya kempen di PDM Seliau, sebenarnya kat sini saya tak payah kempen sebab ini semua saudara mara saya. Tempat saya membesar, semua waris-waris saya.

“Tapi nak mengingatkan pengundi semua pada 13 April depan jangan tak keluar mengundi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pengundi harus keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan tidak hanya menyokong beliau tanpa mengundi beliau.

“Jangan dok Hidup Tok Mad, Hidup Tok Mad tapi mengundi tidak.

“Jangan macam tu, mesti keluar mengundi. Panggil abang, adik, saudara mara balik sebab Seliau ini pengundinya ramai yang duduk luar,” katanya di hadapan lebih 100 penyokong kuat beliau di Seliau.- MalaysiaGazette