Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) berbual dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (dua kanan) ketika hadir sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Tokong Guan Yin Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 05 APRIL 2019

RANTAU – Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan penggunaan kanak-kanak sebagai bahan kempen adalah tidak sesuai untuk tujuan berkempen.

Menurut calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat kenyataan samada cara berkempen itu dibenarkan atau sebaliknya.

“Gunakan kanak-kanak ini saya rasa tak boleh dan tak sesuai, tetapi terpulang pada SPR.

“Mengeksploitasi kanak-kanak tak berapa sesuai untuk dijadikan bahan kempen atau peralatkan mereka,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan eksploitasi kanak-kanak dalam siri kempen PRK Rantau adalah salah dan tidak sepatutnya diadakan.

Menurut beliau, dirinya kecewa kerana perkara itu melibatkan penglibatan kanak-kanak dan akan dikecam sekiranya ia dilakukan di zaman BN memerintah.

“Kalau kita buat mereka kata kita eksploitasi kanak-kanak tapi semalam mereka guna kanak-kanak.

“Saya harap benda ini dapat dielakkan sebab ini adalah pentas politik. Sewaktu PRK ia tidak sesuai untuk melibatkan kanak-kanak dan sebagainya,” katanya selepas menemani calon BN, Datuk Seri Mohamad pada program khidmat masyarakat di Tokong Guan Yin di Kuala Sawah, Rantau, hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam memuatnaik status mengenai laporan itu di Facebook rasminya semalam.

Beliau merujuk kepada status Facebook bekas Ketua PKR cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang memuatnaik beberapa gambar yang diambil dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Taman Orkid pada Rabu lalu.

“Kanak-kanak tak patut digunakan untuk kempen PRK. Lagipun pada waktu malam di atas pentas ceramah.

“Ini bukan sahaja tidak beretika tetapi jelas melanggar undang-undang,” katanya.

Lebih 30 kanak-kanak digunakan semasa kempen PRK DUN Rantau bagi calon PH, Dr S Streram di Taman Orkid.

Mereka dipercayai menerima sumbangan daripada pihak PH dan dirakam menaiki pentas sebelum Streram memberikan ucapannya.  -MalaysiaGazette