Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai Bantahan Statute Rome di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 05 APRIL 2019

SHAH ALAM – Badan Perhubungan UMNO Selangor tidak menolak kemungkinan satu gelombang besar rakyat akan wujud hanya selepas kesan buruk ratifikasi Statut Rom benar-benar difahami oleh orang Melayu di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui bahawa kepimpinan UMNO hanya memahami serta menolak Statut Rom mendapat penjelasan sebenar oleh pengamal undang-undang mengenai implikasinya hingga menggugat keistimewaan Raja-Raja Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Kefahaman tentang Statut Rom itu pun agak kurang jelas berbanding dengan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), itu menyebabkan ramai keliru pada peringkat awal.

“Sekarang kita lebih faham setelah dijelaskan oleh peguam-peguam dalam UMNO tentang kesan Statut Rom.

“Saya percaya semakin lama rakyat akan sedar, sama ada ada gelombang besar itu saya tak boleh pastikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu berkata, isu Statut Rom mengelirukan rakyat berbanding isu ICERD yang mudah difahami kerana ia menyentuh secara langsung tentang hak istimewa orang Melayu dan Islam.

“Kita tak tahu lagi, sebab ICERD itu isu langsung, ia menyentuh hak istimewa orang Melayu, hak istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Tetapi Statut Rom ini berlaku secara tiba-tiba, tidak dibincangkan dalam Parlimen walaupun perkara besar sepatutnya dibincang dalam Parlimen, dia tiba-tiba saja tandatangan.

“Sedangkan ICERD dulu dimaklumkan mungkin akan ditandatangani, akhirnya rakyat boleh menilai dan selepas itu mengambil tindakan. Ini tandatangan dulu, tiada siapa tahu, tiba-tiba sudah tandatangan,” jelasnya.

Ditanya tentang bantahan secara jalanan, Ismail Sabri enggan memberi jawapan sebaliknya UMNO Selangor hanya akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.

“Bantahan jalanan saya tak tahu lah, cuma hari ini UMNO Selangor akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor untuk menunjukkan protes kita kepada tindakan itu.

“Kita akan hantar memorandum kepada Sultan Selangor secepat mungkin, kalau tuanku Sultan beri tarikh cepat, cepatlah kita hantar,” katanya.

Ditanya tentang usul bantahan itu akan dibawa kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk membuat pendirian sama, Ismail Sabri bagaimanapun berkata walaupun tiada mesyuarat rasmi dibuat, namun pendirian mereka adalah sama.

“UMNO pusat belum ada mesyuarat lagi kerana kita sibuk PRK Rantau, mungkin lepas ini mungkin ada negeri-negeri lain.

“Saya percaya seluruh UMNO di negara ini mempunyai pandangan sama dengan kita di Selangor, mungkin belum ada mesyuarat rasmi lagi.

“Dari segi pandangan dan perbincangan kita, keseluruhan UMNO menentang Statut Rom ini, malah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga menentang.

“Kita telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membentangkan usul membantah tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom dan minta supaya dibatalkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast