Reaksi bersahaja Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menari pada Malam Kebudayaan Masyarakat India bagi membantu calon PH, Dr. S. Streram yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2019.

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan secara berseloroh berkata, beliau perlu bekerja keras dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang semakin ke penghujungnya.

Ini kerana, kempen Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim menonjolkan kelainan di Rantau.

“Saya kena kerja lebih kuat sebab bila Anwar menari, peratusan undi naik 10 peratus.

“Saya kena kerja lebih kuat lagi (daripada Anwar) untuk yakinkan pengundi,” katanya ketika ditanya mengenai Presiden PKR yang menari dan bernyanyi semasa kempen PRK Rantau semalam.

Anwar menari dan menyanyi lagu Tamil dalam Malam Kebudayaan India di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas.

Persembahan Anwar selama tiga minit itu ditemani seorang artis yang berpakaian seperti pelakon terkenal dari India, MG Ramachandran (MGR).

Mohamad berkata beliau tidak akan berbuat seperti mana yang dilakukan Anwar untuk meraih undi.

“Saya menari ini kurang pandai. Lepas dia (Anwar Ibrahim) bagi tazkirah, dia menari ya. (ketawa).

“Saya dengar dia bagi tazkirah di masjid. Tak apalah (biar Anwar menari), saya tak pandai menari, tak reti menyanyi. Kalau games (permainan) okay, apa sahaja boleh saya main,” katanya sambil ketawa.

Anwar pernah mempamerkan bakat sama di hadapan pengundi kaum India semasa bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson tahun lalu. – MalaysiaGazette