KUALA LUMPUR – Semua kakitangan di setiap kementeraian dan jabatan kerajaan disaran supaya melakukan sesi x-break (senaman selama 15 minit) setiap hari sebagai langkah penjagaan kesihatan.
Bagi tujuan itu, penjawat awam dibenar untuk melakukan senaman tersebut semasa bekerja bergantung kepada kesesuaian, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, cadangan untuk melakukan senaman itu telah mendapat kelulusan daripada Kabinet dan ia mendapat sokongan sebulat suara.
“Kita dah dapat kelulusan daripada Kabinet atas memorandum kami daripada Kementerian Kesihatan.
“Kabinet telah meluluskan sebulat suara semua kementerian akan melaksnakan kempan berhenti 15 minit untuk kesihatan bergantung kepada kesusaian dan fleksibel mengikut susunan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Dzulkefly melakukan pelepasan peserta berjalan kaki dan larian sempena Kempen Hidup Aktif peringkat Kebangsaan 2019 yang diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Hadir sama pada program itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, perkara sama perlu dilakukan juga oleh semua kakitangan agensi swasta.
Katanya, ia merupakan satu tindakan yang perlu bagi memastikan rakyat Malaysia berubah dan aktif dalam melakukan pelbagai aktiviti fizikal.
Tambah beliau, ketidakaktifan secara fizikal hanya akan memberi kesan yang sangat buruk kepada kesihatan seperti terkena penyakit diabetes, penyakit jantung, kanser, tahap kolesterol yang tinggi dalam badan serta meningkatkan masalah obesiti. – MalaysiaGazette