PRK RANTAU – Exco Perumahan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong mendedahkan projek 242 rumah teres setingkat bagi generasi kedua Felda hanya janji Barisan Nasional (BN) bagi meraih undi pada PRU-14.
Mneurutnya, pelancaran yang dibuat tiga hari sebelum PRU-14 itu hanya janji bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tambah beliau, Mohamad yang juga calon BN PRK DUN Rantau jelas menggunakan platform kepimpinannya ketika itu untuk meraih undi warga Felda.
“Selepas saya semak dengan pegawai-pegawai berkenaan sebenarnya rumah yang sepatutnya dibangunkan di Jimah belum dapat lagi tanah pun.
“Perkara kedua, rumah yang sepatutnya dibangunkan di Bukit Sendayan itu masih belum dibangunkan lagi jadi paling penting ini menunjukkan kerajaan terdahulu (BN) cuba menggunakan jentera kerajaan untuk meningkatkan promosi terhadap mereka semasa pilihan raya,” katanya kepada media semalam.
Pada 6 Mei tahun lalu, Mohamad berkata, projek perumahan itu yang dijangka siap pertengahan tahun 2019.
Malah menurut Mohamad, ia merupakan ‘hadiah’ kerajaan negeri untuk para peneroka Felda Sendayan yang suatu ketika dahulu bersama-sama kerajaan menyelesaikan kemelut tanah rancangan itu.
Rumah berkeluasan 903 kaki persegi dijual kepada anak-anak peneroka Felda Sendayan pada harga RM80,000 seunit.
Malah pemajunya, Matrix Concepts Holdings Bhd. telah memberi subsidi sebanyak RM7 juta untuk membangunkan projek yang sama.
Dalam pada itu, Kok Seong berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan janji itu bagi memastikan warga Felda terus dibela dan diberi hak mereka biar pun ia adalah janji kerajaan BN.
“Walaupun itu dulu janji dari Tok Mad sebagai kerajaan, kita prihatin terhadap rakyat kita akan terus melaksanakan tanggungjawab memastikan generasi kedua dan ketiga di Felda Sendayan ini nasib akan terjamin,” katanya lagi. -MalaysiaGazette