Bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berucap pada Ceramah Umum Barisan Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pekan Saga, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2019.

SEREMBAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau merupakan ‘benih asas’ untuk membantu Barisan Nasional bangkit semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Malah, mandat pengundi bagi kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan juga mempu mempersiapkan Timbalan Presiden UMNO itu  sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia di masa hadapan.

Bekas Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang memberi kejutan kepada pengundi Rantau selepas turun berkempen untuk Tok Mad berkata, benih kemenangan di Rantau ini akan jadi penentu masa depan bekas Menteri Besar itu untuk bangkit semula sebagai pemimpin kuat memperjuangkan rakyat.

Katanya, BN sebagai pembangkang masih kukuh di bawah kepimpinan Tok Mad walaupun pelbagai kekangan dan ujian tetapi tidak sesekali berganjak daripada mara ke hadapan dengan kekuatan lebih hebat.

“Setelah kalah ramai yang mula datang kepada kami mengadu kebajikan dan masalah diabaikan dibawah pentadbiran baharu yang tidak seperti dahulu.

“Kini PRK Rantau ini sangat penting untuk kita meneliti Tok Mad serta jasa-jasanya kepada anda serta calon lawan.

“Saya pasti BN berpeluang bangkit semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

“Lebih penting lagi benih asas menerusi undi anda kepada Tok Mad 13 April ini akan menjadi asas kuat ke arah memperkukuhkan semula parti selain dia berpeluang juga sebagai bakal PM kita,” katanya dalam ceramah kelompok Kempen PRK Kecil Rantau di hadapan 50 pengundi dan penyokong India BN di Kampung Segga, Siliau malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Segamat itu mengakui pilihan raya kecil berkenaan dalam keadaan politik semasa terdapat potensi berlaku perubahan kerajaan dan BN berpeluang kembali memerintah negara.

Justeru, katanya, setiap undi dan sokongan pengundi Rantau khususnya masyarakat India yang mendapat banyak bermanfaat daripada Tok Mad akan membantu pemimpin itu bangkit semula dengan lebih kuat.

“Percayalah dia (Tok Mad) mampu membawa perubahan jika pengundi mempertahankan dia kali ini dan jangan lihat siapa calon tetapi menilai apa sumbangannya dalam membela permasalahan dan kebajikan komuniti kita.

“Oleh kerana keadaan politik semasa mampu membawa perubahan dalam kerajaan, kita jangan lagi bersentimen tetapi berpandangan jauh dan berdiri teguh di belakang kami (MIC) dan bantu menangkan Tok Mad,” ujarnya.- MalaysiaGazette