KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan dalam proses untuk melakukan penambahbaikan perkhidmatan kesihatannya kepada setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dijangka menelan belanja sehingga RM35 juta.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, langkah itu bagi menaik taraf kemudahan hospital dan klinik sedia ada serta pelaksanaan Sistem Informasi Hospital (HIS) untuk menghubungkan lima hospital ATM seluruh negara termasuk di Sabah.
“Ia mewujudkan HIS supaya tentera yang pergi ke hospital di Lumut misalnya, kalau dia datang ke sini, maklumatnya ada dalam sistem komputer.
“Llebih kurang RM15 juta (sistem maklumat) kita perlukan dan peralatan pula RM20 juta dan kita akan kemukakan permohonan kita ini kepada Kementerian Kewangan.
“Itu pun bukan 100 peratus mencukupi dan (peruntukan) kita perlu dari semasa ke semasa sebab kita tahu peralatan ini bila sudah lama dia akan jadi usang dan tak boleh digunakan,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Turut mengiringi dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral Dr Md Amin Muslan.
Mohamad berkata, pihaknya merasakan terdapat keperluan untuk mewujudkan HIS secepat mungkin memandangkan pengurusan rekod pesakit secara manual akan melambatkan proses rawatan dan perkongsian maklumat rawatan tidak dapat dibuat secara optimum.
“Kita juga mengambil kira peralatan yang perlu ditukar dan diselanggara dengan betul.
“Bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan perubatan di medan, kerajaan juga telah melaksanakan perolehan dua set Hospital Medan berserta peralatan perubatan modan dan canggih untuk ditempatkan di Batalion Perubatan di Kluang, Johor da Kuching, Sarawak,” katanya.
Katanya, kementerian dalam proses membina beberapa politiklinik ATM seperti di Kem Penrissen, Kluang; Sungai Petani dan Kem Seberang Takir, di Kuala Terengganu.
“Insya-Allah Kem Penrissen sudah hampir siap sementara yang lain pula dalam proses tender.
“Kita juga telah meluluskan proses peningkatan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dan bangunan akademik Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (Insan) di Melaka.
“Semua program ini adalah untuk memastikan aspek kesihatan setiap anggota sentiasa terjaga serta keupayaan anggota dan pegawai Bahagian Perkhidmatan Kesihatan dapat memberi khidmat yang terbaik dengan adanya peningkatan kemudahan peralatan dan infrastruktur,” katanya. – MalaysiaGazette