SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini meletakkan kesalahan kepada Barisan Nasional sebagai punca Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 gagal.
“Tiada yang menolak dan 59 anggota Parlimen pula tidak mengundi,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim selalu Ketua Kaukus Reformasi dan Urus Tadbir Parlimen malam tadi.
Menurut Presiden PKR itu, kerajaan Pakatan Harapan berusaha menunaikan janji dalam manifesto untuk meminda Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963 (MA63) dengan membentangkan usul pindaan perkara berkaitan hari ini.
“Namun, UMNO dan BN telah berkecuali dan tidak mengundi. Dia tak bantah juga tapi tak undi juga dia berkecuali, dia bagi alasan dia.
“Berapa lama (BN) perintah pun tidak buat itu (pindaan Perlembagaan).
“Tapi tak apa, kita tengok undang undang jelas, itu sahaja,”katanya dalam ceramah Umum Pakatan Harapan di hadapan ratusan pengundi dan penyokong sempena Pilihan Raya Kecil DUN Rantau 13 April ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, biarpun gagal memperoleh sokongan dua pertiga namun beliau berpuas hati dengan usaha tersebut.
“Saya puas hati, saya bangun tadi sokong usul Tun Dr Mahathir bagi pihak kerajaan PH kerana kita janji dan kita tunaikan dan janji itu selaras Perjanjian Persekutuan Malaysia,” tegasnya.
RUU yang dibahaskan selama tujuh jam di Dewan Rakyat hari ini bertujuan mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Usul pindaan yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bagaimanapun gagal diteruskan ke bacaan kedua. -MalaysiaGazette