KUALA LUMPUR- Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) menafikan syarikat tersebut dikawal oleh Gabenor Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan keluarganya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, bekas Ketua Menteri Sarawak itu hanyalah pemegang saham CMSB tetapi bukan menguasai kepentingan (controlling stake).

Jelasnya, Taib dan keluarganya tidak mempunyai kuasa mengawal syarikat kerana secara kolektif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sarawak Economic Development Region (SEDC) dan pelabur-pelabur asing menguasai lebih 40 peratus syarikat berkenaan.

“Taib dan keluarganya memang pemegang saham syarikat tetapi mereka tidak mempunyai kuasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Forum Perjalanan Transformasi Sarawak di Bursa Malaysia hari ini.

Bekas ketua menteri itu dan keluarganya menguasai 31 peratus kepentingan di dalam CMSB manakala KWSP pula memiliki 11.3 peratus diikuti SEDC (enam peratus) dan pelabur-pelabur asing (15 peratus).

CMSB sebelum ini pernah dikritik hubungannya dengan Taib yang membolehkan syarikat itu mendapat banyak kontrak kerajaan termasuk Lebuhraya Pan Borneo.

Dalam pada itu, Isaac yakin syarikat berkenaan tidak akan kehilangan kontrak projek lebuhraya tersebut meskipun kerajaan bercadang menukar model kontrak.

Tambahnya, Menteri Kerja Raya sekarang iaitu Baru Bian juga adalah orang Sarawak. – MalaysiaGazette