Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di BN Command Centre, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 11 APRIL 2019

PRK RANTAU – Berbaki dua hari lagi untuk kempen PRK Rantau,, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengandaikan peluangnya untuk memenangi kerusi berkenaan masih 50-50.

Ujarnya, biar pun jelas menunjukkan beliau menerima sokongan daripada akar umbi parti namun katanya, pengundi luar juga boleh menjadi faktor penentu sama ada beliau dapat mempertahankan kerusi tersebut atau tidak.

“Setakat ini saya masih katakan lagi bahawa peluangnya masih lagi 50-50,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pengundi luar Rantau dipercayai mewakili lebih 20 peratus atau lebih kurang 4, 000 pengundi.

Mohamad dalam pada itu menganggap dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya beliau akan menang pada PRK DUN Rantau sebagai satu reverse psychology.

Ujarnya, perkara itu sengaja dibangkitkan agar pengundi luar selesa dengan perspektif itu dan tidak pulang untuk menunaikan tanggungjawab Sabtu ini.

“Ada kempen-kempen cakap cakap mengatakan BN akan menang besar. Saya yakin ini adalah reverse psychology yang dibuat oleh pihak sebelah (PH) untuk memberikan satu gambaran untuk orang luar atau pengundi luar tak payah balik.

“Cara mereka untuk menjejaskan peluang saya untuk orang balik dan mengundi saya.Saya harap supaya kita jangan termakan dengan kempen-kempen yang mengatakan bahawa BN akan menang selesa,”katanya lagi. – MalaysiaGazette