JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor yang baharu, Dr Sahruddin Jamal berjanji akan berusaha menggalas amanah yang diberikan dengan sepenuh hati demi kemajuan negeri ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkata, apa yang penting buat masa ini adalah memastikan rakyat menikmati kemajuan dan pembangunan seperti dirancangkan.
“Dengan bantuan semua YB (Yang Berhormat) dan sahabat semua, Insya-Allah kita akan dapat bawa Johor lebih maju ke depan,” katanya kepada pemberita di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Bersatu Johor Datuk Osman Sapian; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor Aminolhuda Hassan; Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.
Dr Sahruddin berkata, beliau juga akan mengingati nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam memikul tanggungjawab baharu itu.
“Tuanku ingin pastikan bahawa, jika kita jadi pemimpin, jadilah pemimpin yang amanah, berintegriti untuk memastikan nasib masyarakat lebih terbela,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, kerana menjadi penggerak utama selama ini dalam membangunkan negeri ini.
“Banyak rancangan Datuk Osman lakukan, dan saya akan teruskan segala agenda yang direncanakan,” katanya.
Ditanya mengenai Anggota Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu bakal dilantik, Dr Sahruddin berkata, beliau akan menyegerakan proses pelantikan dalam tempoh 14 hari.
Beliau berkata, apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan, maka akan ada perubahan kepemimpinan dan portfolio.
“Datuk Osman Sapian (bekas Menteri Besar) ada team (pasukan) dia dan saya pun ada team saya, saya akan memilih yang selesa untuk bekerja.
“Yang lebih penting, bagaimana kita dapat bantu masyarakat untuk pastikan masyarakat dapat kemudahan apa yang kita rancangkan sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pada 9.30 pagi, hari ini.
Dr Sahruddin dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.
— Bernama