KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri menyerahkan siasatan kepada polis berhubung isu sekumpulan lelaki yang dipercayai bertindak memeriksa sebuah kererta peronda polis (MPV) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, semua penyokong parti politik diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

“Berhubung isu beberapa individu yang dikatakan penyokong parti Pakatan Harapan bertindak memeriksa kenderaan polis semasa PRK DUN Rantau, saya ingin menyeru semua pihak supaya patuh kepada undang-undang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata. mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan membolehkan siasatan dijalankan.

“Ia ekoran kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi di mana kumpulan lelaki itu dirakam (video) memaksa dua anggota polis membuka but MPV polis kerana didakwa membawa lebihan kertas undi semasa PRK DUN Rantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau bekata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Katanya, Seksyen 186 adalah kerana menghalang tugas penjawat awam yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksmum RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 341 kerana menghalang seseorang dengan salah dan boleh diambil tindakan penjara boleh sampai sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, katanya.

Abdul Hamid berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi mereka.

“Sila laporkan kepada polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Rakaman video berdurasi 46 saat itu tular di laman sosial menunjukkan beberapa lelaki menahan kenderaan MPV polis dan memeriksa but kereta namun hanya menemui peralatan keselamatan dan peti ubat.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast