Koroner, Rofiah Mohamad meneliti keadaan kenderaan Fire Rescue Tender (FRT) pada lawatan Mahkamah Koroner untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai lokasi kejadian rusuhan dan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Balai Bomba Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 FEBRUARI 2019.

SHAH ALAM – Saksi ke-29 inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim memberitahu Mahkamah Koroner hari ini yang perusuh yang mencederakan anggota bomba itu mungkin bukan kumpulan yang menyerang  jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Sebaliknya bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid berpendirian dua atau lebih individu yang menyerang mangsa mungkin datang daripada arah belakang van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Sebab itulah menerusi video yang dijadikan bahan bukti mahkamah memperlihatkan daun pintu tempat duduk Adib terbuka sedikit kerana beliau pada waktu itu tidak menyangka akan diserang, tambah Shahrom.

“Yang ini perlu dijelaskan normal human behavior. Kalau kita tengok video kejadian perusuh datang dari depan FRT, bagaimanapun terdapat orang-orang lain yang berpotensi menjadi perusuh di bahagian perusuh di bahagian belakang EMRS.

“Kemungkinan besar terdapat orang lain daripada belakang (EMRS) datang ke arah Adib dan tiba-tiba sahaja dia disentap (ditarik) dan ada tindakan lain lagi.

“Kalau ada datang dari depan ke pintu EMRS, dia sudah (tentu) ada prejudis kemungkinan besar dia akan diserang (jadi) dia akan tutup pintu secara rasionalnya,” katanya.

Terdahulu peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syazlin Mansor mengajukan soalan mengapa Adib tidak menutup pintu van walaupun melihat perusuh meluru ke arahnya pada malam rusuhan di Kuil Sri Mariamman Seafield.

Dalam pada itu, beliau menegakkan hujah terdapat beberapa orang yang berada di sekitar EMRS sewaktu van itu mengundur, menerusi kesan cermin van yang pecah di bahagian belakang dan sisi.

Tidak cukup dengan itu, Shahrom turut menunjukkan video uji kaji yang mendapati bahawa helmet perlu dihentak dari jarak yang dekat dengan berulang kali untuk memecahkannya.

“Dalam video kejadian, faktanya cermin belakang dan sisi dah pecah jadi saya membuat kesimpulan terdapat sekurang-kurangnya dua orang atau lebih yang ada di sekitar EMRS.

“Jadi saya buat control eksperimen nak tahu berapa lama kita nak pecahkan cermin belakang dan sisi EMRS. Kenapa kita baling helmet, ada kemungkinan orang tidak ada di keliling EMRS tapi baling dari jauh.

“Faktanya dua helmet ditemui dalam EMRS. Kita nak tahu helmet dibaling memecahkan cermin dan masuk ke EMRS, atau helmet perlu dihentak dengan jarak lengan,” jelas Shahrom.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast