Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menunjukkan buku laporan kemalangan seorang unit kejuruteraan dipercayai dilanggar dengan sebuah pesawat persendirian yang berlaku di Lapangan Terbang Sultan Abdul Azizi Shah, Subang pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pengangkutan di MOT, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2019.

PUTRAJAYA – Kajian mendalam akan dilakukan berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan operasi kenderaan di atas landasan lapangan terbang selepas ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan dalaman itu meneliti SOP untuk kenderaan atas landasan khususnya peralatan khas yang perlu digunakan sesebuah kenderaan operasi semasa memasuki landasan lapangan terbang.

“Satu siasatan mendalam akan dilakukan termasuk oleh diteliti oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) sama ada pemasangan peralatan putaran lampu kenderaan dan komunikasi radio pada kenderaan penyelengaraan landasan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau dalam sidang media tersebut yang disertai Ketua AAIB, Kapten Yahaya Abdul Rahman itu mendedahkan laporan siasatan awal insiden kemalangan melibatkan pesawat jet peribadi milik Berjaya Air yang dengan kenderaan Perodua Kembara putih milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pada kejadian 3. 20 pagi 18 Mac lalu, Juruteknik MAHB, Mohamad Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang memandu kereta pengiring kenderaan kontraktor penyelenggaraan lampu landasan serta pengecat garisan parah selepas kenderaan yang dipandunya dilanggar sayap pesawat peribadi Berjaya Airlines dan mangsa telah meninggal dunia sehari selepas itu di Pusat Perubatan Sime Darby sekitar 6.45 petang.

Arwah telah meninggalkan seorang isteri, Nor Azawiah Md. Usuf dan empat anak berusia setahun hingga 13 tahun.

Dalam laporan siasatan awal, Anthony menegaskan, satu siasatan rapi akan dikendalikan berkenaan SOP melibatkan komunikasi antara Pusat Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Lapangan Terbang Subang dan kenderaan penyelenggaraan.

“Kalau kita lihat mereka menggunakan walkie talkie untuk berkomunikasi dengan ATC. Kita nak kaji SOP penggunaan walkie talkie oleh kenderaan penyelenggaraan landasan berbanding komunikasi radio Frekuensi Tertinggi (VHF),” ujarnya.

Menurut Kapten Yahya yang mengetuai AAIB mengendalikan siastan kemalangan itu, perbualan walkie talkie dengan ATC tidak boleh dirakam dengan walkie talkie.

“Lainlah kalau sistem komunikasi radio VHF kalau dipasang pada kenderaan penyelenggaraan landasan dan ATC ia membolehkan setiap perbualan dirakam untuk rekod semakan pada waktu penting,” katanya.

Semasa kejadian itu kata laporan siasatan awal AAIB, kenderaan pengiring yang dipandu Mohammad Sazali statik dan tidak bergerak walaupun diberi indikasi menyalakan lampu tinggi kenderaan oleh kontraktor penyelenggaraan lampu landasan mengenai pendaratan jet peribadi.

Malangnya, tiada respon daripada kenderaan pengiring yang dipandu mangsa sebelum berlakunya perlanggaran itu.

Laporan lengkap siasatan insiden berkenaan akan siap dalam tempoh 11 bulan lagi, tegas Anthony Loke lagi.- MalaysiaGazette