KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta membanteras lebih serius aktiviti penyeludupan anak pokok kelapa dan kurma dari Thailand kerana kerana ia menjadi punca kelapa sawit dan kelapa di negara ini diserang penyakit akibat serangan Kumbang Merah Palma (RPW).
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, antara negeri yang diserang penyakit itu ialah negeri bersempadan dan berhampiran dengan Thailand seperti Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
Kata beliau, RPW adalah haiwan perosak merbahaya di bawah Akta Kuarantin 1976 dan pernah menyerang tanaman negara ini tiga tahun lalu.
Katanya, dianggarkan pembelanjaan kawalan RPW mencecah RM4 juta setahun.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan membanteras aktiviti penyeludupan anak pokok kelapa dan tamar dari Thailand, tetapi perlu ditingkatkan lagi.
“Penyeludupan ini merupakan punca utama serangan RPW kembali lagi menyerang negeri bersempadan seperti Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelas Che Alias, selain penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan RPW dan pelan tindakan pengawalan RPW di ladang sawit diwujudkan, kerajaan perlu menggunakan mekanikal atau kaedah kawalan dan pengurusan lestari bagi menghapuskan populasi serangan itu dari terus merebak.
Menurut beliau, kerajaan dan agensi terlibat perlu mematuhi kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang lebih mesra alam merangkumi kawalan kimia, fizikal dan biologi tanpa bergantung racun makhluk perosak yang boleh menjejaskan alam sekitar.
Di samping itu, katanya, pemantauan dan penangkapan melalui perangkap feromon seks perlu ditingkatkan lagi selain menggunakan kaedah repellent atau penghalau serangga dalam kawalan RPW di negara ini.
“Saya sarankan laporan pengawasan dan pemantauan ladang sawit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RPW bulan ini perlu diumumkan terutama kepada pengusaha ladang sawit dalam mewujudkan kerjasama yang kukuh bagi membendung serangan makhluk perosak ini,” katanya. – MalaysiaGazette