Burhanuddin Ruslan
Burhanuddin Ruslan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong gesaan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) agar Peguam Negara, Tommy Thomas menarik balik afidavit berhubung inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Wiranya, Burhanuddin Ruslan berkata, proses inkues masih berjalan di Mahkamah Koroner Shah Alam, bagaimana Peguam Negara sudah memfailkan afidavit mengatakan kematian anggota Bomba dan Penyelamat itu bukan akibat dipukul.

“Afidavit ini langsung tidak masuk akal dan merupakan satu tindakan gila yang dibuat oleh seorang Peguam Negara.

“Keputusannya juga seolah menidakkan hak pembelaan dan keadilan kepada seorang anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas dan amanah negara.

“Kita menganggap ini tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip undang-undang apabila afidavit diumumkan sebelum inkues selesai,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Ummah mempersoalkan tindakan Tommy menerusi afidavitnya menyatakan kematian Muhammad Adib bukan disebabkan oleh perusuh memukulnya.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya dilaporkan berkata, ia jelas bercanggah dengan undang-undang apabila keputusan seolah diperolehi lebih awal meskipun prosiding inkues belum selesai dan difahamkan berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Melalui perkembangan semasa ini, beliau merumuskan wujud gerakan untuk mengubah naratif kematian Adib.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, dari awal lagi Wira Perkasa Malaysia merasakan seperti wujud perancangan jahat dan tersusun apabila kerajaan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengarahkan Majistret membuat inkues menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Katanya, sebelum ini polis telah mengklasifikasikan semula kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan empat suspek ditahan, dengan dua daripadanya dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 dan dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/18/wujud-konspirasi-ubah-naratif-kematian-adib-dakwa-ummah/