Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan bermula Jun sehingga Ogos tahun ini bersandarkan penurunan sebanyak 2.2 peratus dalam kadar pertumbuhan Indeks Utama (LI) bagi Februari.

Menurut Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, kadar pertumbuhan bulanan menurun kepada 116.3 mata pada Februari 2019 berbanding 118.9 mata pada Januari.

Dua komponen yang menunjukkan peratusan penurunan tertinggi adalah import semikonduktor (-0.9 peratus) dan jumlah perumahan yang diluluskan (-0.6 peratus).

“LI juga menunjukkan momentum perubahan yang lebih perlahan pada Februari 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“LI mampu menunjukkan arah ekonomi bagi purata empat sehingga enam bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

MGF25012018_WACANA EKONOMI BERSAMA INDUSTRI MUZIK DAN KREATIF MALAYSIA06
Dr Mohd Uzir Mahidin

Indeks Koinsiden (CI) yang menunjukkan prestasi ekonomi semasa juga jatuh.

Menurut Mohd. Uzir, CI menyusut 0.9 peratus pada Februari diterajui oleh kejatuhan penggunaan kapasiti dalam sektor pengilangan sebanyak -0.7 peratus.

Bagaimanapun menurut beliau, bagi perbandingan tahunan, CI bulan Februari 2019 meningkat 2.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.- MalaysiaGazette