Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula bagi 9,998 unit Accord (2.0L) model tahun 2003-2007 untuk penggantian inflator beg udara Takata bahagian pemandu sebagai langkah pencegahan.

Dalam kenyataan syarikat itu berkata, panggilan semula kali kedua ini adalah perlu sebagai tindakan pencegahan dan menggesa pelanggan yang terjejas untuk menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu dengan segera.

Honda Malaysia berkata, penggantian kedua inflator beg udara Takata bahagian pemandu adalah percuma dengan kos penggantian ditanggung oleh syarikat.

Setakat hari ini, katanya tiada sebarang nahas atau kecederaan berkaitan dengan inflator beg udara Takata bahagian pemandu bagi Accord (2.0L) model tahun 2003–2007 yang dilaporkan di Malaysia.

Sementara itu, pada 21 April tahun ini, Honda Malaysia telah menyiapkan kerja mengganti lebih 43,720 unit inflator beg udara Takata bahagian pemandu, iaitu nisbah siap 92 peratus, sementara jumlah inflator beg udara penumpang dan penumpang yang siap diganti adalah lebih 527,480 unit atau nisbah siap 89 peratus.

“Honda Malaysia juga merayu kepada pelanggan Honda yang terjejas yang masih belum menggantikan inflator beg udara Takata untuk segera berbuat demikian kerana beg udara itu mungkin mengalami tekanan udara kuat apabila diaktiflkan.

“Inflator beg udara yang terjejas itu mungkin pecah yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kematian kepada pemandu dan penumpang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast