Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), P. Waytha Moorthy bercakap kepada media pada Sidang Kemuncak Pendidikan dan Pembelajaran Kebangsaan 2019 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pemimpin pembangkang khususnya UMNO dan Pas didakwa mengambil kesempatan di atas ketidafahaman rakyat kepada ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara & Kesejahteraan Nasional), P Waytha Moorthy berkata, pembangkang menggunakan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu untuk menimbulkan kekeliruan.

“Sebenarnya saya rasa rakyat tidak fahami kandungan Statut Rom itu.

“Memandangkan rakyat tak faham, isi kandungan konvensyen tersebut, jadi ada sesetengah pihak politik cuba menggunakan isu tersebut untuk memutarbelit fakta dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tujuan pembangkang tidak lain supaya rakyat menentang konvensyen tersebut bagi tujuan (kepentingan) politik mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pendidikan & Pembelajaran Kebangsaan 2019 di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin UMNO dan Pas menganjurkan siri jelajah menentang Statut Rom yang digerakkan ke seluruh negara untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang implikasi perjanjian itu kepada masyarakat Melayu, Islam dan ketuanan Majlis Raja-Raja.

Ceramah penerangan yang turut menggunakan agenda perpaduan ummah itu yang digerakkan sejak Mac lalu turut melibatkan beberapa pakar Perlembagaan dan undang-undang serta pemimpin NGO Islam. – MalaysiaGazette