Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA – Perbezaan pandangan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tunku Mahkota Johor harus dibincangkan oleh pakar.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perbezaan pendapat itu bukan perkembangan yang baik kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan rakyat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, perkara-perkara yang membabitkan perlembagaan perlu disahkan oleh pakar.

“Katakan Tun berkata betul, tafsiran TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) tidak betul, mesti ada yang mengesahkan mana satu yang betul. Mesti ada usaha dibuat kalau membabitkan perlembagaan.

“Rakyat keliru A kata A, B kata B,” ujarnya di sini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyambut baik titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskanada yang mahu perbezaan antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan diketepikan.

Dalam kenyataan itu, Sultan Johor menyarankan seeloknya kedua-dua pihak saling berjumpa dan berbincang dengan matang demi kebaikan bersama.

Semalam, Dr Mahathir menerusi blognya berkata, Perlembagaan Negeri Johor dan Terengganu terbatal apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.

Dr Mahathir berkata, Perlembagaan Persekutuan secara jelas memberikan kuasa kepada parti yang memenangi pilihan raya menamakan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri, yang akan dipersetujui raja-raja.

“Sekiranya raja berperlembagaan tidak mahu sokong dan mencadangkan calon tersendiri dan menyokong orang itu, parti yang menang boleh menolak individu itu dalam Dewan Undangan Negeri menerusi undi tidak percaya,” kata perdana menteri.

Tulisan perdana menteri itu dipercayai ada kaitan dengan pelantikan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu mengangkat sumpah pada hari Isnin lalu, susulan pelantikan menteri besar baharu.

Tetapi, kenyataan itu disanggah oleh TMJ dengan berkongsi artikel perlembagaan.

Artikel yang dikongsikan oleh Tunku Ismail itu menyebut:

Perkara 71 (1) Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri menyebut: Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.

Perkara 181 (1) : Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas. – MalaysiaGazette