Bank Rakyat

KUALA LUMPUR – Kumpulan Bank Rakyat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.24 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018.

Bank Rakyat berkata,  ia mencapai prestasi memberangsangkan meskipun berdepan cabaran margin keuntungan bersih dan juga pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) bagi peruntukan baharu.

“Bagi tahun kewangan 2018, kumpulan berjaya mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) yang rendah pada 34.3 peratus, melebihi CIR industri perbankan domestik iaitu 44.8 peratus,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pendapatan daripada aktiviti pembiayaan meningkat 0.2 peratus kepada RM5.12 bilion daripada RM5.11 bilion sebelum ini memandangkan kelembapan pertumbuhan pembiayaan keseluruhan industri dan persaingan sengit dalam pasaran.

Bagi aset kumpulan, katanya, jumlah aset Bank Rakyat meningkat 1.4 peratus atau RM1.44 bilion kepada RM106.89 bilion, berbanding RM105.45 bilion sebelum ini.

Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan kukuh aset perbendaharaan sebanyak RM2.54 bilion kepada RM33.23 bilion sejajar dengan keperluan kawal selia untuk megekalkan tahap Aset Cair Berkualiti Tinggi (HQLA) yang mencukupi.

Bank Rakyat berkata baki pembiayaan kasar meningkat kepada RM70.40 bilion berbanding RM70.63 bilion sebelum ini, dengan kumpulan terus mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio, terutamanya daripada pembiayaan perumahan, kenderaan dan perniagaan.

Pembiayaan perumahan meningkat 12.8 peratus kepada RM5.92 bilion berbanding RM5.25 bilion sebelum ini manakala pembiayaan kenderaan meningkat 1.5 peratus kepada RM2.77 bilion berbanding RM2.73 bilion sebelum ini, katanya.

Sementara itu, pembiayaan perniagaan, terutamanya segmen koperasi meningkat 13.3 peratus kepada RM2.22 bilion berbanding RM1.96 bilion sebelum ini.

Bank Rakyat berkata bagaimanapun, pembiayaan peribadi menurun dua peratus kepada RM54.88 bilion sejajar dengan strategi jangka panjang bank tersebut untuk mengurangkan kebergantungan secara keseluruhan kepada pembiayaan peribadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast