Tanda nama angggota bomba, Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim '17476' kini menjadi kenangan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Balai Bomba Subang Jaya, foto IQBAL BASRI, 19 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tidak wajar wujudnya niat untuk menyanggah keterangan yang diberikan oleh saksi dalam prosiding inkues kematian allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Jelas Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed, ini kerana inkues ditubuhkan bukan bertujuan untuk memihak mana-mana pihak berdasarkan keterangan saksi sebaliknya ia demi mencapai matlamat membantu kerajaan mengetahui punca kematian anggota bomba itu.

“Inkues ini bukan mahkamah yang bersidang menentukan siapa salah dan tidak, cuma untuk mendapatkan fakta berkaitan dengan apa yang diinginkan kerajaan.

“Berdasarkan kes-kes sebelum ini sepatutnya memanggil siapa sahaja yang boleh membantu memberi keterangan. Kalau nak panggil untuk rebuttal tidak proper (betul), (ia) bukan tujuan untuk memihak kepada mana-mana. Ia untuk mendapatkan penyelesaian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini yang sedang berlaku dalam inkues anggota bomba itu yang meninggal dunia pada 17 Disember tahun lalu.

Baru-baru ini pasukan pegawai pengendali membuat permohonan Mahkamah Koroner agar saksi ke-24 pakar Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi dipanggil semula untuk menyanggah teori yang dikemukakan oleh Profesor Dr Shahrom Abd Wahid yang dirujuk oleh peguam keluarga dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ini kerana kedua-dua saksi itu mengemukakan analisa yang bercanggah terhadap punca kecederaan yang dialami Muhammad Adib semasa rusuhan kuil Sri Maha Mariamman 27 November 2018.

Namun begitu menurut Martadha, pasukan inkues boleh memanggil saksi pakar lain yang boleh memberi keterangan secara neutral tanpa memihak mana-mana pihak bagi membantu mahkamah koroner membuat keputusan dengan lebih jelas.

“Mungkin kalau kita lihat anggota saksi yang dipanggil memberi keterangan tanpa prejudis tapi dalam keadaan seolah-olah tiada penyelesaian dan saling tuding menuding perlu ada pihak luar yang lebih pakar dan neutral yang boleh memberikan pendapat analisa yang neutral,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast