KUALA LUMPUR – MyCuepacsCare dengan kerjasama Zurich General Takaful Malaysia Bhd. (Zurich) menawarkan perlindungan takaful CuepacsPA-Raya secara percuma kepada semua penjawat awam di negara ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun hadapan.
Pengarah Urusan MyCuepacsCare, K. Palanisamy berkata, penjawat awam yang menyertai program takaful CuepacsPA sebelum 19 Mei depan akan menikmati perlindungan percuma CuepacsPA-Raya walaupun sijil takaful mereka masih lagi tidak berkuatkuasa.
Beliau berkata, CuepacsPA-Raya menawarkan perlindungan sehingga RM220,000 kepada penjawat awam sekiranya mereka terlibat dengan kemalangan tidak dijangka sepanjang musim perayaan iaitu bermula pada 20 Mei hingga 19 Jun hadapan.
“Pemberian CuepacsPA-Raya percuma adalah selaras dengan hasrat CUEPACS untuk memastikan setiap penjawat awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful melalui pelancaran Program Mentakafulkan Penjawat Awam Melalui MyCuepacsCare oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
“Risiko berlakunya kemalangan ketika musim perayaan adalah tinggi berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya. Kami berharap penjawat awam tidak membiarkan diri mereka ‘kosong’ tanpa sebarang perlindungan takaful semasa musim perayaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Palanisamy berkata, antara manfaat yang ditawarkan melalui CuepacsPA-Raya adalah perlindungan untuk kemalangan sebagai penumpang pengangkutan awam atau kenderaan persendirian, pembunuhan, serangan, mogok, rusuhan dan kekacauan awam.
Jelas beliau, penjawat awam yang mahu menyertai CuepacsPA-Raya boleh mendaftar secara online melalui laman web www.cuepacspa.my atau menerusi lebih 500 wakil pemasaran MyCuepacsCare di seluruh negara.
“CuepacsPA menawarkan perlindungan maksimum sehingga RM440,000 dengan kadar sumbangan serendah RM6 & RM12 sebulan. Jika penjawat awam menyertai salah satu pelan CuepacsPA sebelum 19 Mei ini, mereka secara autmatik menikmati perlindungan CuepacsPA-Raya.
“Kemalangan tidak boleh dijangka, tetapi sebagai penjawat awam mereka boleh merancang bagaimana untuk menghadapi kemalangan itu dengan perlindungan sewajarnya.
“Diharap usaha ini dapat meningkatkan kesejahteraan warga penjawat awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette