Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis mendakwa kedudukan Islam kini berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, realiti politik pada hari ini membiarkan umat Islam dibuli

Beliau berkata, pelbagai kenyataan yang dibuat oleh individu-individu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.

Betapa ramai yang menghina Nabi Muhammad dan mempersenda ajaran Islam, juga hanya dipanggil memberikan keterangan.

Tetapi, ceramah dalam masjid untuk umat Islam sahaja di Kelantan oleh seorang yang menceritakan pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam, telah menyebabkan beliau ditangkap.

“Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri?

“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba? Tidak pula mereka itu ditangkap.

“Bagaimana dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?,” soal beliau.

Beliau mengulas penahanan Muhammad Zamri yang juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik susulan beberapa laporan polis yang mendakwanya menghina agama Hindu.

Artikel berkaitan:Penceramah bebas direman 4 hari

Pembantu Zakir Naik ditahan didakwa hina agama Hindu

Tidak perlu sehingga 800 laporan untuk polis bertindak – DAP

Mohd Asri berkata, Zamri telah membuat banyak program membantu membina hubungan baik antara agama di Perlis.

“Ziarah ke gereja, ke tokong dan pelbagai dialog harmoni beliau telah anjurkan di bawah One Centre Malaysia. Boleh lihat di media sosial mereka.

“Ucapan beliau itu hanyalah sedikit cerita pengalaman diri sebelum menganut Islam dibandingkan usaha beliau untuk hubungan antara agama,” katanya.

Mufti Perlis itu menambah, beliau tidak menyalahkan Polis Diraja Malaysia tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli.

“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini melainkan sejumlah kecil.

“Apakah ini suatu keadilan?,” soalnya lagi. – MalaysiaGazette