Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2018.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Ada pihak menangguk di air keruh, mengambil kesempatan daripada kenyataan Senator Nga Hock Cheh yang mencadangkan kedutaan Malaysia diwujudkan di Palestin dan Israel.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pendirian DAP terhadap Palestin tidak patut dipertikai ekoran cadangan itu.

Jelas beliau, ini kerana DAP menyokong rakyat Palestin dan perjuangan mereka menentang penindasan rejim Zionis Israel.

“DAP sudah sekian lama menyokong dan bersetiakawan dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menentang penindasan rejim Zionis Israel.

“Ucapan Senator Nga Hock Cheh di Dewan Negara minggu lalu telah mengundang reaksi banyak pihak. Justeru itu, bagi mengelakkan salah faham berlanjutan serta fitnah daripada pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh, Senator Nga telah memohon maaf dan menarik balik ucapan beliau,” katanya menerusi kenyataan.

Nga mengakui telah mencadangkan supaya kedutaan Malaysia diwujudkan di Palestin dan Israel apabila ada cadangan supaya ia ditubuhkan di Palestin.

Katanya, cadangan itu membolehkan Malaysia membantu keamanan di dua wilayah yang bergolak itu.

Menyedari ia sensitif beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette