KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyoalsiasat dua orang individu yang menggunakan laman Facebook mereka untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Aisyah serta kesucian agama Islam di negara ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan MCMC, Datuk Mohd Shafie Harun berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima MCMC daripada orang ramai supaya tindakan segera diambil terhadap pihak berkenaan.

Kedua-dua individu berkenaan telah dirakamkan percakapan mereka dalam satu serbuan serentak yang dikendalikan dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Semporna, Sabah dan Kajang, Selangor.

Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua suspek menjurus kepada perbuatan memuat naik kandungan-kandungan bersifat jelik dan menghina dengan niat untuk mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam kes pertama membabitkan pengguna akaun Facebook bernama ‘Auni Zaara’, suspek memuat naik mesej yang menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda.

“Manakala dalam kes kedua pula membabitkan pengguna akaun Facebook ‘Fadhillah Abdulhamid’, suspek memuat naik kandungan bersifat jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad dengan kata-kata yang cukup menghina,” kata Mohd Shafie.

Dalam serbuan tersebut, 2 telefon bimbit, 3 kad SIM dan 1 kad memori telah dirampas untuk siasatan lanjut,” tambah beliau.

Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial untuk menyebarkan hantaran atau mesej berbaur penghinaan yang boleh mengundang kemarahan orang awam. – MalaysiaGazette