SHAH ALAM – Badan Perhubungan UMNO Selangor akan mengerahkan 25,000 ahlinya bagi menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405) di ibu negara pada Sabtu ini.

Timbalan pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat jawatankuasa empat peringkat badan itu sebulat suara yang bersetuju dengan isu yang dibangkitkan dalam perhimpunan aman itu.

“Kita bersetuju pada dasarnya semua ahli jawatankuasa empat peringkat untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 25,000 orang untuk perhimpunan pada 4 Mei 2019.

“InsyaAllah kita akan bersama-sama begitu juga saya difahamkan rakan-rakan kita daripada Pas dan beberapa NGO lain akan bersama dengan kita, Insya-Allah pada hari tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor di bangunan UMNO Selangor di sini malam ini.

Semalam, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mengumumkan akan menganjurkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (405), di luar pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Perhimpunan aman itu antara lain akan membangkitkan beberapa isu utama meliputi ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), isu ancaman kedaulatan Islam, keadilan untuk arwah Adib, isu Bahasa Kebangsaan, isu UEC dan isu PPSMI.

Mat Nadzari juga berkata, UMNO Selangor bersetuju untuk bersama dengan NGO Ummah turun ke jalanan sebelum berarak ke lokasi utama yang dijadualkan bermula seawal jam 2 petang Sabtu ini.

“Kita akan bersama-sama dalam perhimpunan berkenaan bertujuan untuk membantah mengenai dengan ratifikasi Statut Rom yang sampai hari ini tidak jelas tentang kedudukannya sama ada daripada pihak kerajaan mahupun rakyat yang tidak jelas sama ada ia sudah ditangani ataupun belum.

“Kita juga setuju dalam tragedi melibatkan Muhammad Adib tempoh hari, yang ini tidak mempunyai jalan penyelesaian dan tiada tindakan yang cepat dan tuntas daripada pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah pembunuhan ataupun kematian Adib.

“Kemudian mengenai pengiktirafan UEC tanpa syarat, ini juga sangat membimbangkan ramai rakyat di luar sana dan kita dapat lihat ahli akademik juga ramai yang membantah usaha pengiktirafan UEC,” katanya lagi. – MalaysiaGazette