Zainal Abidin Ahmad

KUALA LUMPUR – Momentum jualan Perodua untuk empat bulan pertama 2019 kekal kukuh dengan peningkatan 9.5% kepada 82,700 unit dari Januari hingga akhir April 2019 berbanding dengan 75,500 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ia didorong permintaan yang berterusan untuk semua modelnya, sekali gus pencapaian jualan terbaik bagi empat bulan pertama dalam sejarah Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sementara Perodua menantikan angka rasmi jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), syarikat itu percaya pegangan pasaran Perodua melebihi 43% bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Malah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah membelanjakan RM1.8 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal automotif tempatan dan optimis dapat memenuhi komitmen kami untuk membeli RM5.4 bilion dalam komponen
pada tahun ini.

Beliau berkata, Perodua akan terus berusaha untuk memenuhi komitmennya untuk membeli daripada pembekal komponen automotif domestik pada tahun-tahun yang akan datang, walaupun menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

“Walaupun terlalu awal untuk menetapkan sasaran selepas 2019, kami yakin Perodua akan terus berkembang pada tahun 2020 dan seterusnya memberi manfaat kepada pembekal dan pengedar tempatan,” katanya.

Model Perodua, yang kesemuanya mempunyai lebih dari 90% kandungan tempatan, menyaksikan angka pendaftaran yang tinggi pada bulan April dengan jualan lebih 7,700 Myvi, 5,900 Axia, 4,200 Bezza dan 1,100 Alza.

“Bagi Aruz pula, kami telah mendaftarkan lebih 3,200 unit pada bulan April, angka pendaftaran bulanan yang paling tinggi
untuk SUV tujuh tempat duduk tersebut.

“Pencapaian ini signifikan bagi kami kerana Aruz mewakili usaha transformasi terbaharu kami untuk menjadi jenama serantau,” kata Zainal.

Jumlah jualan Perodua pada April 2019 melebihi 22,100 unit – peningkatan hampir 11% berbanding dengan 19,939 unit pada April 2018, menjadikannya April terbaik dalam sejarah Perodua dari segi jualan.

Zainal menambah, permintaan untuk Perodua Aruz telah melebihi jangkaan dan pengeluaran telah dipercepatkan untuk
memenuhi permintaan tersebut serta mengurangkan tempoh menunggu.

Sejak Aruz dibuka untuk tempahan pada 3hb Januari lalu, hampir 20,000 tempahan telah diterima, iaitu dengan purata 170 tempahan setiap hari. Dan setakat hari ini, lebih daripada 9,800 Aruz telah diserahkan sejak pendaftaran bermula pada 31hb Januari –
purata lebih daripada 100 unit setiap hari – menjadikan ia antara SUV paling laris di negara ini.

Manakala Myvi kekal menjadi model terlaris Perodua sejak pelancarannya pada November 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast