KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuatkuasa hari ini merupakan satu pengiktirafan besar dalam dunia perundangan negara.
Malah lantikan itu juga kena pada orangnya kerana Tengku Maimun terkenal dengan kelantangan serta kebijaksanaan dalam kalangan pengamal undang-undang negara ini.
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese menambah, pelantikan Tengku Maimun turut mencipta sejarah negara ini yang mendapat seorang hakim wanita buat pertama kali.
“Syabas kami ucapkan kepada beliau yang juga bukanlah seorang hakim dan pengamal undang-undang yang calang-calang, sebaliknya sangat dikenali oleh semua orang.
“Kita semua sedia maklum tentang kehebatan serta kebijaksanaan beliau dalam membuat sesuatu keputusan adil.
“Pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim yang baharu sangat dialu-alukan dan pastinya akan diterima dan dihargai. Beliau adalah calon tepat bagi jawatan tersebut.
“Ini juga adalah satu berita baik apatah lagi bagi pembaharuan Badan Kehakiman negara. Kita alu-alukan pelantikan dengan rasa gembira,” katanya MalaysiaGazette.
Pengumuman pelantikan Tengku Maimun oleh Pejabat Perdana Menteri juga telah menamatkan keta-teki siapa bakal mengisi jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara itu.
Terdahulu, menurut Pejabat Perdana Menteri, pelantikanTengku Maimun bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 April lalu, setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
Tengku Maimun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November tahun lalu dan sebelum itu sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dari 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.
Di peringkat awal, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April 2011 hingga 7 Januari 2013 dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/02/tengku-maimun-ketua-hakim-negara-baharu/