KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyeru Perdana Menteri dan Tengku Mahkota Johor (TMJ) menghentikan perbalahan secara terbuka sempena bulan Ramadan.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor berkata, Tun Mahathir Mohamad adalah ketua eksekutif negara dan seorang bertaraf negarawan tidak manis terus berbalah pendapat yang kadang-kadang kelihatan agak peribadi apabila menyerang TMJ.

“Begitu juga, TMJ adalah pewaris takhta Johor yang mempunyai kepimpinan yang karismatik, berani dan bijak berbicara akan hilang seri dan hilang hormat dari kalangan rakyat jika terus-terusan menentang secara terbuka Tun Dr Mahathir seorang ketua kerajaan demokratik yang dipilih rakyat, apatah lagi beliau telah lanjut berusia, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hassan, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan beliau menyeru supaya dibina hubungan yang baik antara kerajaan Johor dengan Persekutuan.

“Saya bersedia untuk memainkan peranan sebagai jambatan perhubungan ini,” ujarnya.

Sebagai anak Johor dan rakyat Malaysia beliau berpendapat hubungan yang positif, jernih dan konstruktif antara Putrajaya dan pihak Istana Johor akan banyak membantu dalam membangunkan negeri Johor dan menyelesaikan banyak masalah rakyat di negeri paling selatan Semenanjung yang mempunyai banyak projek pembangunan berskala besar seperti Rapid Petronas di Pengerang, Koridor Ekonomi Iskandar Malaysia, Projek keretapi RTS menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodland di Singapura, Projek Keretapi laju HSR menghubungi Kuala Lumpur dan Singapura serta projek landasan keretapi elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru.

“Hubungan peribadi yang baik antara Perdana Menteri dengan TMJ dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim akan memudahkan Kerajaan Negeri Johor dengan Menteri Besar serta Jemaah Exco yang baru dilantik melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast