SHAH ALAM – Polis masih belum dapat membuat kesimpulan terhadap motif pembunuhan anggota polis, Lans Koperal Valentino Mesa, di Balai Polis Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017.
Dalam masa yang sama, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC, Fadzil Ahmat, polis belum mengenal pasti suspek yang terlibat.
“Tidak ada perkembangan seperti kata ayah mendiang, betul. Sebab masih dalam siasatan setakat ini belum ada apa-apa perkembangan terbaharu.
“Kita tidak dapat lagi established motif tapi kita pasti. Setakat ini belum lagi (ada suspek yang dikesan),” katanya ketika ditanya pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan MalaysiaGazette semalam bahawa ayah mendiang, Mesa anak Ugom, 54 ternanti-nanti akan keadilan kematian anaknya sejak 2 tahun lalu.
Namun Fadzil memberi jaminan bahawa kematian anggota polis berumur 29 tahun ini menjadi keutamaan dan tidak akan menutup kes, sebaliknya siasatan akan terus dijalankan bagi mendapatkan perkembangan terbaharu.
“Kes itu telah diklasifikasikan sebagai Seksyen 302 Kanun Keseksaan sehingga kini kes masih dalam siasatan. Kes itu merupakan keutamaan kita masih belum menutup kes.
“Dari semasa ke semasa kita akan pastikan kes akan terus dijalankan (siasatannya),” tambah beliau.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan siasatan dan pemeriksaan awal mendapati terdapat satu kesan tembakan dan tetakan di badan mangsa termasuk di kepala.
Valentino yang berasal dari Sarawak ditemui mati oleh anggota Unit Peronda, MPV yang pulang dari rondaan pada jam 3.25 pagi.
Bagaimanapun, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di dalam balai polis berkenaan dan ketika kejadian mangsa seorang diri.-MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/05/siapa-bunuh-anak-saya-dalam-balai-polis/