Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberi penerangan kepada semua pihak untuk menjelaskan dan memberi keyakinan bahawa tindakan meratifikasi Statut Rom bagi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak perlu digeruni.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ada rakyat yang tidak memahami Statut Rom dan terpedaya dengan pihak-pihak yang cuba mengelirukan fakta yang sebenar.

Ini menyebabkan kerajaan terpaksa menarik semula ratifikasi Statut Rom selepas menerima tekanan daripada banyak pihak.

“Ada orang yang tidak faham langsung mengenai Statut Rom

“Tetapi tidak mengapa kerajaan akan beri penerangan mengapa Statut Rom tidak akan menjejaskan sesiapa yang tidak melakukan jenayah,” katanya semasa temubual khas sempena pentadbiran Pakatan Harapan di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, tidak kira sama ada negara ini melaksanakan Statut Rom atau tidak, dunia tetap akan menentang Malaysia sekiranya hanya berdiam diri jika berlaku pembunuhan beramai-ramai di negara ini.

Dengan menjadikan penghapusan etnik Rohingya di Myanmar sebagai contoh, Dr. Mahathir berkata, dunia tetap mengutuk perbuatan tersebut meskipun kerajaan Myanmar sendiri berdiam diri.

Tambah Dr. Mahathir, kerajaan bukan bersifat pasif tetapi menantikan waktu yang sesuai untuk menangani isu-isu sensitif seperti ratifikasi Statut Rom.

“Kerajaan perlu membuat persediaan penuh dan berhati-hati di dalam mengambil tindakan dengan mengkaji kesannya,” katanya ketika ditanya mengapa kerajaan bertindak pasif apabila menarik semula Statut Rome disebabkan bantahan banyak pihak. -MalaysiaGazette