Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan tidak akan menarik balik keputusan pindaan terhadap cermin gelap yang diumumkan kelmarin.

Ini kerana Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 kekal terpakai meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Ketika menyuarakan pendirian itu Anthony menegaskan, keputusan yang diumumkan itu adalah bersandarkan maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap, pada Jun 2014.

Menurutnya, berdasarkan rumusan pada bengkel berkenaan pengekalan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing berkadar 70 peratus serta 50 peratus dan ia masih dihormati.

“Kita masih mengekalkan rumusan daripada bengkel terbabit sebaliknya pindaan penggunaan cermin gelap pada sisi kiri dan kanan penumpang, selain bahagian belakang adalah selari piawaian antarabangsa.

“Banyak kereta import termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Jepun yang tidak melepasi piawaian (peraturan cermin gelap ditetapkan di negara) kita.

“Disebabkan itu, pemilik kenderaan import ini terpaksa menyewa cermin dengan kadar VLT mengikut piawaian di kedai aksesori kereta pada kadar RM800 semata-mata ingin melepasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid dan dan Setiausaha Politik Anthony, Datuk Dahlan Maamor.

Penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan dan penguatkuasaan terhadap perkara itu bermula semalam.

Ia bermakna, cermin berkenaan boleh menggunakan lapisan filem atau cermin gelap hitam sepenuhnya, berbanding peraturan sekarang yang menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

Kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan dan cermin kiri serta kanan pemandu, masing-masing masih kekal 70 dan 50 peratus seperti peraturan sedia ada.

Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 itu dibuat selepas mendengar keluhan orang ramai, selain selaras Peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No 43: Peruntukan Seragam Mengenai Kelulusan Bahan Kaca Keselamatan dan Pemasangannya Pada Kenderaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/07/pdrm-terkilan-peraturan-baharu-cermin-gelap/