Datuk Mazlan Aliman
Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA (MPNF), Datuk Mazlan Aliman bercakap pada sidang media mengenai kertas putih Felda, MPNF menyumbang idea dan tenaga kearah model baharu Felda di Tree Med Sdn Bhd Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 MEI 2019

PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) digesa mengkaji semula perjanjian tanaman semula ladang kelapa sawit dalam usaha menjadikan masyarakat peneroka berdikari dan mengurangkan kebergantungan sara hidup kepada kerajaan.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berkata, langkah itu perlu diberi pertimbangan oleh kerajaan sebagai salah satu cara untuk memajukan tanah rancangan Felda yang kini dibelenggu dengan ketidaktentuan harga sawit di pasaran.

“Amalan sekarang bila saja pokok (sawit) ditebang, mereka sudah sesuai dengan perjanjian tanam semula itu sendiri bahawa mereka akan dapat antara RM1,000 hingga RM1,500 sara hidup dan pendahuluan hasil.

“Felda terpaksa memperuntukkan kos yang begitu besar. Saya yakin dengan kaedah atau model baharu ini tentulah mengambil kira, satu kajian semula terhadap perjanjian tanam semula, akan dilihat semula,

“Selagi perjanjian itu tidak dikaji semula, maka dia jadi statut quo, benda yang sudah ada, maka tanggungjawab Felda, sampai masanya dia kena bagi duit sara hidup, itu tak boleh dielak, kena lihat perjanjian itu,” katanya pada sidang media di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Mazlan juga berkata, sekiranya perjanjian itu dirombak, kerajaan perlu mencari kaedah yang lebih sesuai bagi sesetengah peneroka yang memajakkan tanah pertanian mereka kepada pihak ketiga.

“Kalau perjanjian tanam semula dimansuhkan dan diperkenalkan dengan perjanjian baharu ia mesti mempunyai berkaitan dengan isu pajakan atau sewaan tanah.

“Kalau kita kekal dengan statut quo, maka kerajaan terpaksa ambil tanggungjawab ini, kalau tanah itu disewakan atau dipajakkan, saya berpendapat pembangunan semula Felda dalam konteks berdikari itu harus menjadi tumpuan utama yang dimasukkan dalam model baharu,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya perjanjian tanam semula itu disemak balik sekalipun, ia tidak bermakna kerajaan lepas tangan terhadap peneroka yang hilang pendapatan sementara.

“Itu bukan bermakna kerajaan akan melepaskan tanggungjawabnya, mekanisme baru kalau kita buat macam pekebun kecil, maka kerajaan berikan dalam bentuk subsidi, input pertanian atau infra jalan pertanian,

“Walaupun kerajaan melepas sebahagian tanggungjawab mereka, tapi kerajaan boleh beri dalam bentuk subsidi dan input pertanian dan itu akan jadi konsep yang menarik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette