KUALA LUMPUR – UMNO bukan parti politik pilihan raya semata-mata, sebaliknya sebuah perjuangan yang mewakili hati nurani orang Melayu, kaum Bumiputera dan anak negeri.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu diwujudkan sebelum sistem pilihan raya diperkenalkan di Malaysia dan bergerak membela serta meningkatkan kedudukan maruah, martabat agama, bangsa dan tanah air.
“Sempena hari UMNO dan hari ulang tahun UMNO ke-73, marilah sama-sama kita memperingati kembali perjuangan parti keramat ini.
“Kita menuntut kepada seluruh ahli UMNO bukan saja beristiqamah kepada perjuangan, tetapi mempunyai semangat yang kental dan tahap kesabaran yang tinggi,” katanya dalam perutusan sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-73 hari ini.
Menurut Annuar, 2019 adalah tahun pertama UMNO menyambut ulang tahun dalam keadaan ia bukan sebuah parti yang memerintah.
Namun, kata beliau, sebagai sebuah parti yang diwujudkan untuk mencorakkan nasib masa depan agama, bangsa dan tanah air maka sudah tentu kepimpinan harus membuat persiapan untuk membaiki diri.
“Seterusnya untuk mencapai tampuk kekuasaan agar perjuangan kita akan menjadi lebih bermakna selepas ini.
“Marilah kita sama-sama menanam keazaman yang tinggi sempena ulang tahun tahun ini untuk kita beristiqamah dengan perjuangan UMNO dan membulatkan tekad bahawasanya apa yang kita lakukan ini adalah sebahagian tuntutan agama kita dan kebertanggungjawaban kita kepada bangsa dan tanah air,” katanya.
Beliau berkata, dengan perjuangan yang istiqamah itu, UMNO akan mendapat pertolongan Allah untuk kembali menjadi sebuah parti yang benar-benar akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab membina sebuah bangsa Malaysia, yang lebih sejahtera, makmur dan rakyat dapat menaung di bawahnya. – MalaysiaGazette