KUALA LUMPUR – Kecoh isu kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana statusnya sebagai bekas banduan.
Susulan itu Pas diserang bertubi-tubi oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyifatkan kenyataan itu agak biadap dan cuba memperlekehkan pengampunan oleh Yang DiPertuan Agong pada tahun lepas.
Bagaimanapun, Takiyuddin mempertahankan dirinya tidak bersalah dengan mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Sebaliknya, kata Takiyuddin, ia adalah kebenaran dan beliau hanya bercakap menggunakan fakta serta undang-undang.
Terbaharu, Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan pula mempersoalkan adakah sebenarnya Anwar dianiyai sehingga menjadikan dirinya sebagai tahanan politik seangkatan dengan Soekarno, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi.
Soal Wan Agyl lagi, adakah Anwar sememangnya bersalah melakukan kesalahan meliwat dan telah mendapat pengampunan sepenuhnya bagi memastikan dirinya dapat keluar penjara sekali gus menjejaki Parlimen.
“Daripada kita sibuk cuba menuding jari dan cuba menegakkan benang yang basah, apa kita kita cuba perhalusi terlebih dahulu apakah sebenarnya yang terjadi sehingga Anwar mendapat pengampunan.
“Soalan Takiyuddin sebenarnya mahu mengetahui status seorang pemimpin bakal diangkat sebagai Perdana Menteri ke-8. Kata Saifuddin Abdullah (Menteri Luar), Anwar adalah tahanan politik, ini terus menjadi persoalan tentang kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sendiri.
“Adakah Saifuddin bermaksud Dr Mahathir telah menyalahgunakan jawatan beliau ketika itu Perdana Menteri ke-4 bagi memastikan Anwar tidak menjadi penggantinya pada masa itu?
“Ini juga bukan persoalan yang perlu dijawab oleh Saifuddin sahaja, sebaliknya Tun Mahathir sendiri. Adakah tuduhan meliwat itu untuk menyekat Anwar dari menjadi Perdana Menteri ke-5?
“Sebaik Pakatan harapan (PH) menang pada pilihan raya lepas, Anwar terus mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi kita juga lihat proses itu seperti begitu tergesa-gesa.
“Jadi sebagai rakyat, kita semua mahu tahu tentang fakta sebenar status pengampunan ini kerana percayalah isu ini akan terus menjadi satu persoalan yang tidak ada penghujungnya.
“Hakikatnya, sebagai rakyat bukan sahaja Takiyuddin mahupun Pas tetapi kami semua ada hak untuk bertanya,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan minggu lalu, Takiyuddin mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal perdana menteri.
Jelas Takiyuddin, sabitan kesalahan ke atas Anwar itu telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak sepatutnya dipersoalkan.
Takiyuddin merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan tidak bersalah Anwar dalam kes liwat II oleh Mahkamah Tinggi.
Presiden PKR itu dihukum penjara lima tahun pada 2015.
Bagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan pusat melalui kemenangan PH pada pilihan raya umum tahun lalu, Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Jelas Wan Agyl lagi, dengan berlakunya proses pengampunan, adakah Anwar sebenarnya mengaku dirinya memang bersalah seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
“Semua pihak yang terlibat perlu jelaskan dengan terperinci tentang status Anwar kerana jika bersandarkan kepada fakta pengampunan, Anwar sememangnya bersalah seperti yang diputuskan oleh mahkamah dan pengampunan itu hanya sekadar ihsan sahaja.
“Dengan semangat Malaysia Baharu yangs seringkali dilaung-laungkan oleh keseluruhan pimpinan PH, asas pelantikan Perdana Menteri ke-8 perlulah kukuh tanpa sebarang persoalan-persoalan seperti ini.
“Mungkin juga ada keperluan untuk mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perjalanan mahkamah, hakim termasuk Ketua Hakim yang pernah menyatakan dalam penghakimannya bahawa Anwar sememangnya terlibat dalam kes liwat itu,” tegasnya. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/11/anwar-bukan-banduan-layak-jadi-perdana-menteri/
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/11/pemuda-ph-lupa-anwar-masuk-penjara-dua-kali-mohd-razlan/
https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/11/jangan-perlekeh-pengampunan-diraja-mohon-maaf-segera-pemuda-pkr/