Datuk Seri Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2019

KLANG – Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi (KRIBA), salah satu fasiliti perubatan baharu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2020.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa ini KRIBA hanya dapat beroperasi kira-kira 40 peratus sahaja susulan kekurangan tenaga sumber manusia khususnya jururawat.

“Menjelang 2020 kita jangka KRIBA dapat beroperasi penuh. (Tapi) Setakat ini KRIBA sudah berfungsi mencecah 40 peratus saja. Kita sudah bina KRIBA tapi kita tak dapat jalankannya secara penuh (operasi) kerana kita kekurangan sumber manusia.

“Hal ini sangat mengecewakan dan malang, sebab itu pembinaan infrastruktur mesti bersekali dengan perancangan perjawatan, sistem, perisian dan sebagainya,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerjanya di HTAR, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad mendengar penerangan dari Doktor Kecemasan, Dr. Ahmad Tajuddin (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2019

Dzulkefly juga berkata, meskipun fasiliti KRIBA sudah lengkap sepenuhnya, namun ia hanya beroperasi secara berfasa dan bergantung kepada jumlah penjawatan baharu yang akan ditempatkan di sini, kelak.

“Sekarang kita masih menunggu jururawat dan pengambilan akan datang dibuat pada Julai ini. Dalam KRIBA ini, jururawat berperanan besar mengendalikan kompleks baharu ini

“Operasi KRIBA dijalankan secara berfasa dan pada masa ini kita mendapat 57 penjawatan baharu untuk jururawat untuk HTAR sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette