KUALA LUMPUR- Kesedaran dan pematuhan terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kalangan pengguna jalan raya di negara ini berada di tahap membimbangkan.

Dengan itu, Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Suhaimi Hashim berkata, syarikat kereta nasional kedua itu akan menjalankan kempen yang lebih agresif untuk mempromosikan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sebelum ia dikuatkuasakan pada awal 2020.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Perodua berkata, kanak-kanak merupakan individu yang paling terdedah dengan bahaya apabila kenderaan sedang bergerak.

“Sebagai pengeluar kenderaan Malaysia sudah menjadi tanggungjawab kami untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada para pelanggan dan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.

“Kami sedar bahawa pendidikan adalah satu proses jangka panjang, namun kami akan terus komited terhadap usaha tersebut.

“Penasihat jualan dan servis kami yang sah di cawangan Perodua berdekatan anda amat berbesar hati untuk menjelaskan penggunaan dan manfaat Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp serta kaedah pemasangan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sepanjang Ramadan, Perodua akan menjalankan kempen untuk mendidik, memberi kesedaran serta mempromosikan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan, terutamanya semasa perjalanan balik kampung untuk berhari raya, katanya.

Bermula 13 Mei hingga 30 Jun nanti, Perodua akan menawarkan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak ISOFIX GearUp dengan harga promosi RM660 (harga biasa: RM785) untuk kerusi bayi dan RM780 (harga biasa: RM975) untuk kerusi kanak-kanak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast