Dr. Ahmad Hafizam Hasmi

SHAH ALAM – Pakar forensik, Dr Ahmad Hafizam Hasmi mengaku tidak dapat menentukan secara spesifik punca kecederaan yang dialami oleh Muhammad Adib Mohd Kassim dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman akhir tahun lalu.

Katanya, tidak ada seorang pun melihat keseluruhan kejadian yang menimpa anggota bomba itu menyebabkan inkues berlangsung dalam keadaan ‘blind’ dan hanya bersandarkan teori bedah siasat yang dilakukannya pada 18 Disember 2018 semata-mata. 

“Apa objek spesifik saya tidak dapat bantu mahkamah.

“Dalam kes ini kita dalam keadaan ‘blind’ tidak ada saksi yang melihat ketika ia terjadi secara menyeluruh,” kata pakar dari Hospital Kuala Lumpur itu kepada Mahkamah Koroner.

Beliau  terdahulu ditanya beberapa kali tentang kecederaan di dada kanan yang menunjukkan terdapat luka sagat selain kepatahan tulang rusuk ketiga hingga kelima mangsa. 

Peguam mewakili keluarga anggota bomba itu, Kamarulzaman Abd Wahab juga turut mengajukan soalan secara spesifik tentang bagaimana lebam pada lengan Adib wujud.

Hafizam yang dipanggil semula leh Mahkamah Koroner sebelum ini pernah memberitahu bahawa kecederaan di dada Adib itu berpunca daripada trauma terkena objek tumpul, lebar dan berpermukaan kasar.

Pakar forensik itu turut menegaskan tindakannya tidak melakukan hirisan lapisan demi lapisan kulit bahagian belakang semasa bedah siasat bertepatan dengan apa yang diamalkan dalam bidang forensik.

Apatah lagi menurutnya ia hanya akan mencacatkan mayat.

“Kalau dilakukan itu ia (hirisan kulit lapisan demi lapisan) hanya akan menyebabkan kulit itu berlubang-lubang dan mencacatkan mayat,”tambah Hafizam apabila kepakarannya dipertikaikan peguam kerana tidak melakukan hirisan demi memeriksa kesan lebam.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast