Shahril Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Takrifan pelaburan langsung asing (FDI) yang digunakan oleh Menteri Kewangan menjadi pertikaian apabila didakwa daripada FDI sebanyak RM21.7 bilion kebanyakannya hasil penjualan aset-aset.

Menyuarakan dakwaan itu, Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, sekiranya benar maka bagi Guan Eng tindakan menjual aset negara adalah tindakan baik walaupun ia adalah sebaliknya.

Jelasnya, ini kerana maklumat yang diperolehnya mendapati sebahagian jumlah yang dikatakan adalah hasil penjualan aset Khazanah Nasional Bhd. dan saham Sapura Upstream Sdn Bhd.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, daripada sejumlah RM21.7 bilion, RM8.4 bilion adalah dari Jepun, RM3.7 bilion dari Austria dan RM2.8 bilion dari Hong Kong.

“Malangnya, RM8.4 bilion tersebut merupakan hasil penjualan aset Khazanah kepada Mitsui. Malangnya, RM3.7 bilion merupakan hasil penjualan pemilikan 50 peratus saham Sapura Upstream Sdn Bhd oleh Syarikat Minyak OMV berpangkalan di Australia.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia mengajak rakyat berfikir sejenak. Adakah penjualan aset utama negara, seperti Petronas misalnya, baik untuk negara? Semestinya jawapannya adalah tidak. Penjualan aset menunjukkan negara memerlukan tunai untuk tempoh masa singkat,” katanya menerusi kenyataan media.

Selain hanya mahu menutup kegagalan sendiri, Shahir menyifatkan kenyataan Guan Eng berhubung kadar FDI hanyalah retorik demi menutup kegagalan dirinya sebagai menteri.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng bahawa kenaikan FDI kini pada tahap tertinggi di dalam sejarah negara, iaitu RM21.7 bilion dengan peningkatan sebanyak 94.8 peratus berbanding RM11.2 bilion yang telah dicatatkan pada suku pertama tahun lepas.

Kadar ini, katanya, membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas kerajaan dan negara Malaysia. – MalaysiaGazette