Sambil menunggu persiapan menjelang berbuka, penulis membuka YouTube dan melihat trailer terbaru Joker yang bakal menggegar pawagam pada Oktober 2019 ini. Mutakhir ini DC Comics sering membawa naratif-naratif anti-hero seperti sebelum ini Suicide Squad dan akan datang adalah Joker, si badut-ngeri psikotik.
Joker adalah lambang realisme kehidupan manusia. Joker percaya bahawa setiap kebaikan yang manusia buat adalah demi menutupi sisi-sisi jahat dan gelap dalam diri seseorang. Joker percaya bahawa kebaikan yang dilakukan seseorang kadangkala bukan demi nilai kemanusiaan tetapi hanya kerana perlu dibuat tanpa apa-apa nilai dan signifikan.
Bulan Ramadan yang tiba menampakkan secara zahir manusia banyak membuat hal-hal kebaikan. Satu bulan ini harus
dipulun habis-habisan, 11 bulan lagi cerita lain. Siapa yang memaknakan perihal baik dan jahat? Masyarakat atau individu? Adakah kebaikan yang dilakukan hanya bersifat ritual
(antara individu dengan Tuhan) atau bersifat sosial (antara sesama manusia)?
Penulis berpendapat bahawa Ramadan adalah fasa terbaik buat kita muhasabah dan ulang-fikir adakah praktis keagamaan kita bersifat Kaffah (menyeluruh) merangkumi perihal ritual dan
sosial atau ritual semata?
Illusory Superiority
Di dalam kajian ilmu psikologi kita akan menemukan apa yang dipanggil sebagai illusory superiority iaitu keadaan bias manusia yang membuatkan manusia memandang perihal kebaikan di dalam dirinya berlebihan dan perkara jahat dalam dirinya sebagai hal yang kecil. Disebabkan bias ini maka manusia memperlihatkan dirinya sudah baik dan melakukan
kebaikan dan tiada sebarang kejelekan. Sindrom ini akan menghambat masyarakat kita seawal Ramadan.
Aktiviti seperti solat sunat tarawih, sedekah, puasa menahan lapar dan dahaga, kumat-kamit mulut berzikir, berkejaran menyelak mushaf demi khatam al-Quranul Karim sudah meyakinkan bahawa inilah perkara suci yang telah aku lakukan, namun bagaimana nasib para dhu’afa (mereka yang lemah) dan mustad’afin (mereka yang tertindas)?
Di saat kita berbuka puasa di gedung dan kompleks berhawa dingin kita lupa pada mereka di jalanan mengemis menadah tangan mencari makanan untuk berbuka. Dikala kita bergaduh solat sunat tarawih 8 rakaat atau 20 rakaat yang mana lebih baik, pada masa yang sama si anak kecil di flat-flat pakaian solat pun tidak mampu dimilikinya.
Dikala kita berlumba-lumba menghabiskan tilawah al-Quran, Aiman menghabiskan masanya menunggu ibunya melacur di celah-celah lorong kecil Chow Kit. Asyik kita menyumbang pada tabung-tabung masjid, kita terlepas pandang pada si ibu tunggal beranak 8 orang yang barangkali pintunya hanya berselang 2-3 pintu sahaja daripada kita. Kekhusyukan kita bersujud pada
Tuhan di sepertiga malam malahan keluar juga Pak Abu menorah getah yang sekilogram hasilnya barangkali pun tidak mencukupi untuk membeli sebungkus nasi buat bersahur.
Soleh Ritual Soleh Sosial
Istilah ini telah diperkenalkan oleh seorang agamawan di Indonesia yang mesra disapa Gus Mus. Soleh Ritual merujuk kepada perilaku ibadah yang bersifat menunaikan Haqqullah
atau Hablumi nallah (perhubungan kepada Allah SWT). Soleh Ritual bersifat sangat individual. Ia adalah pertalian vertikal – atas; bawah (manusia dan Tuhan). Ibadah ini
merangkumi solat, puasa, haji, zikir, bacaan al-Quran dan lain-lain namun adakalanya kelompok ini tidak memperdulikan masyarakat sekelilingnya.
Soleh Sosial pula merujuk kepada perilaku ibadah yang bersifat Haqqul Adami atau Hablum minannas (perhubungan sesama manusia). Soleh Sosial bersifat sangat masyarakat.
Mereka yang Soleh Sosial akan gemar menyantuni mereka yang miskin dan tertindas. Mereka sering melakukan kerja-kerja charity. Rumah mereka tidaklah seperti kelompok
Soleh Ritual; hanya di masjid melainkan rumah mereka adalah di jalanan. Pertalian ini adalah bersifat horizontal (manusia dan manusia). Soleh Sosial walau tidak setekun Soleh Ritual
namun ini adalah tumpuan mereka.
Jadi, Harus Bagaimana?
Apabila mahu berbicara soal agama dan kehidupan maka perlulah dilihat fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita. Kita mungkin seringkali berjumpa dengan kelompok yang berkali-kali pergi Haji tetapi tidak tergerak membela nasib masyarakat keliling yang dalam kesusahan. Seolah-olah Islam hanya mengajarkan untuk menunaikan hak-hak Allah SWT belaka semata. Sebaliknya juga sering kelihatan kelompok yang sangat cakna akan nasib masalah sesama umat, sangat memperhatikan hak sesamanya namun tidak cergas menunaikan kewajipan peribadinya.
Perlulah kita menjadi muslim yang bersolehan secara total. Bukankah didalam Al-Quran menyampaikan seruan ‘ Udkhuluu fis silmi Kaffah’ seruan untuk praktis Islam secara total; merangkumi Soleh Ritual dan Soleh Sosial?
Bagi mereka yang meneliti keperibadian Nabi Muhammad SAW maka akan ditemukan equilibrium (keseimbangan) antara dua elemen ini. Puasa dan ajaran ibadah yang ditunjukkan dengan baik oleh Nabi Muhammad SAW sangat dicontohi. Apabila memasuki bulan Ramadan Muhammad SAW itu adalah manusia yang sangat kuat membaca al-Quran serta rajin bangun sepertiga malam dan juga manusia yang paling dermawan dan pemurah
bersedekah sesama manusia.
Dengan kata lain, takwa yang menjadi sasaran puasa Muslim
sebenarnya bererti kesolehan total. Janganlah kita menjadi manusia yang sangat ekstrim ke kutub kanan atau ekstrem ke
kutub kiri sahaja. Jika hidup hanya berwarna hitam atau putih sahaja maka sugullah kehidupan. Cuba usaha untuk menjadi muslim yang soleh dan takwanya bersifat total. Cahaya Ilahi dan kemanusiaan tidak dapat dipisahkan.
Hilal Azman Idris, Graduan Sains Politik UIAM Kampus Gombak. Berasal daripada Cheras, Kuala Lumpur.