KUALA LUMPUR – Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) adalah keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta melindungi hak pemilik kediaman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, akta tersebut akan mempercepatkan proses membaik pulih kawasan perumahan lama yang tidak lagi selamat dan tidak berdaya huni.
“Kita bukan sekadar bercakap di atas kertas. Hari ini, kita turun padang, meninjau sendiri keadaan perumahan yang sudah terlalu daif, lif rosak, sistem perparitan gagal, sampah berlonggok, malah nilai hartanah tidak berkembang.
“Ini adalah satu kerugian besar kepada pemilik sedia ada,” katanya selepas program XPDC Akta PSB bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara di empat lokasi, hari ini.

Menurut Kor Ming, Akta PSB memperkenalkan syarat ambang persetujuan pemilik sebanyak 75 peratus bagi projek pembaharuan semula bangunan berusia lebih 30 tahun berbanding keperluan 100 peratus ketika ini.
“Kita perlu realistik. Jika kita terus bergantung pada persetujuan penuh 100 peratus, ramai penduduk akan terus terperangkap dalam keadaan yang tidak berdaya saing dan membahayakan kesihatan serta keselamatan,” ujarnya.
Pada program hari ini, Kor Ming mengujugi empat lokasi iaitu Flat Sutera di Taman Desa Bakti, Selayang dan Flat Kuchai Jaya di Seputeh yang memperlihatkan kemerosotan ketara dari segi kemudahan dan nilai pasaran hartanah.
“Sebagai contoh, di Flat Sutera, walaupun terletak di Selayang, harga rumah hanya sekitar RM150,000 jauh lebih rendah daripada harga pasaran di kawasan sekitarnya. Ini membuktikan perlunya pembaharuan semula bagi mengembalikan nilai kepada pemilik,” katanya.
Sebagai perbandingan, projek pembaharuan seperti 1 Razak Mansion dan Residensi Kerinchi membuktikan keberkesanan konsep ini, dengan nilai hartanah melonjak berlipat kali ganda selepas pembangunan semula.

“Dengan pelaksanaan Akta PSB secara terancang, kita bukan sahaja dapat memperbaharui perumahan usang, malah membina komuniti yang lebih selamat, selesa dan sejahtera,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















