KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional melahirkan rasa kecewa terhadap parti pembangkang yang mempertikaikan bantuan biasiswa pendidikan kepada pelajar Palestin oleh Kerajaan Malaysia, baru-baru ini.
Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, sewajarnya semua pihak khususnya pembangkang perlu berhenti mempolitikkan setiap isu yang timbul dan perlu melihat usaha ini sebagai misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas.
“Justeru pendirian MCA yang mempersoalkan bantuan ini seharusnya ditolak oleh setiap warga yang cintakan keamanan. Penderitaan rakyat Palestin perlu dilihat melangkaui sempadan kenegaraan.
“Bantuan biasiswa pendidikan diwujudkan bagi membantu pelajar Palestin yang terhimpit dan ditekan oleh rejim Zionis.
“Ia adalah salah satu usaha oleh kerajaan Malaysia bagi menzahirkan solidariti kepada penderitaan yang dialami rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong yang dilaporkan media Khamis lalu berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya tahu meminta sokongan kaum Cina dan membayar cukai, tetapi atas dasar pendidikan, kaum itu terasa dipinggirkan.
Chee Hiong memberi contoh pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin adalah satu diskriminasi sedangkan pada masa sama pelajar Bumiputera terus tertekan di bawah pemerintahan PH.
Mohd Sany juga menegur Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan didakwa berniat jahat cuba mengaitkan setiap kenyataan daripada kaum bukan Melayu dengan parti DAP.
“Sebagai parti yang cuba menzahirkan imej keagamaan, Pas harus berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan berhenti bermain dengan retorik perkauman kosong.
“Sebagai rakan baharu MCA, sudah tentu Pas perlu lebih lantang menegur kenyataan mereka di dalam isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette