Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa Kaukus Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat hari ini mahu kerajaan mengkaji semula penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang kini hanya tertumpu kepada pasukan polis tanpa mengambil kita pasukan keselamatan lain di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu suruhanjaya atau badan baharu perlu diwujudkan bagi memastikan kebajikan pasukan keselamatan bukan sahaja polis bahkan kastam dan imigresen juga diberi pertimbangan serius.

“Kita minta supaya dipertimbangkan bentuk atau badan baru mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh pasukan keselamatan polis bahawa soal disiplin, soal rasuah ini tidak harus tertumpu kepada satu agensi seperti polis tapi badan dan penguatkuasa lain termasuk kastam dan imigresen.

“Ini dapat tidak diberikan tumpuan padahal cadangan perubahan dan pembentukan suruhanjaya itu juga mengambil kira peranan pasukan polis, tanggungjawab mereka, beban mereka, risiko yang mereka hadapi, masalah perumahan, kebajikan mereka dan juga kedudukan bekas-bekas polis.

“Kita juga memberi pandangan bahawa tidak semestinya format yang dikemukakan oleh kerajaan itu terikat dengan IPCMC, kita juga ada dulu diwujudkan tapi tidak begitu kuat bidang kuasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pengerusi Kaukus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar juga menafikan dakwaan bahawa disiplin pasukan keselamatan khususnya polis dijalankan tanpa membabitkan wakil polis dalam suruhanjaya berkenaan.

“Ini juga telah dijelaskan sebelum ini tidak benar kerana semua lembaga disiplin mengambil kira dan perwakilan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) dan juga wakil ketua polis negara sendiri.

“Jadi ketua polis negara mempunyai hak untuk memberikan pandangan dan memberikan input tentang disiplin pasukan polis dan saya kira hal yang sama berlaku kepada pasukan Imigresen dan Kastam.” katanya.

Anwar turut berkata, pihaknya memahami beberapa pertimbangan yang telah dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri sebelum ini khususnya pihak polis dan isu keselamatan yang membabitkan beberapa akta zalim.

“Saya ingin jelaskan bahawa Kaukus berpendapat soal keselamatan itu adalah soal utama, kita tidak langsung mahu melihat longgar atau lemah menghadapi keganasan atau jenayah.

“Kita tekankan orang yang dituduh itu diberi ruang secukupnya untuk membela diri kerana kita bimbang kalau kita tersalah langkah kerana bidang kuasa undang-undang yang terlalu kuat dan menyeluruh

“Jadi saya percaya ini akan dibincangkan lagi dengan pihak KDN dan mengambil kira pandangan ahli-ahli kaukus dan ahli parlimen lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette