Gambar hiasan.

SEBERANG PRAI – Pengukuhan nilai ringgit menggembirakan ramai pihak, tetapi juga menyebabkan sesetengah perniagaan tidak sempat bertindak balas.

Presiden Persatuan Pengimport dan Pengeksport Pulau Pinang, Datuk Lim Kai Seng berkata, kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat secara mendadak sesungguhnya mengembirakan pengimport apabila kos untuk membawa masuk produk asing menurun.

Beliau berkata, keadaan itu yang berlaku secara mengejut bagaimanapun merupakan sesuatu yang mendukacitakan pengeksport.

Kai Seng memberitahu Kwong Wah Yit Poh, ringgit memanjat dengan terlalu pantas dan luar biasa sehinggakan pengeksport tidak sempat untuk bertindak balas.

“Pengeksport tidak sempat untuk menyesuaikan diri dengan penyelarasan harga sekali gus menjejaskan keuntungan mereka,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menilai sejauhmana implikasi kenaikan nilai ringgit yang berlaku.

Katanya, Pulau Pinang merupakan penyumbang utama dalam eksport negara dan kenaikan nilai ringgit yang terlalu cepat akan mengurangkan daya tarikan negeri itu dalam kalangan syarikat multinasional.

Kai Seng berkata, ringgit harus berada dalam keadaan stabil kerana lonjakan mengejut akan menimbulkan kegentaran dalam kalangan peniaga.

Ujarnya, pihaknya bagaimanapun masih memerlukan masa untuk menilai sama ada kenaikan ringgit semasa adalah satu fenomena sihat, atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, Kwong Wah Yit Poh melaporkan, pengukuhan nilai ringgit dijangka mengurangkan kos import alat ganti jentera dan kenderaan.

Keadaan itu akan menyebabkan pengurangan harga jualan sekali gus mengakhiri rungutan pengguna yang mengeluh harga alat ganti mengalami kenaikan secara berterusan.